EKONOMI > BERITA

IFC, KONSORTIUM KOMITED SEDIA LEBIH US$900 JUTA DALAM PEMBIAYAAN KEPADA PUSAT DATA DI MALAYSIA - BANK DUNIA

23/12/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) dan sebuah konsortium yang terdiri daripada enam institusi kewangan antarabangsa komited menyediakan lebih US$900 juta (US$1 = RM4.50) dalam pembiayaan kepada kampus pusat data hiperskala Yondr Group di Malaysia, menurut Kumpulan Bank Dunia.

IFC adalah institusi pembangunan global yang terbesar memberi tumpuan kepada sektor swasta di pasaran sedang pesat membangun dan merupakan ahli Kumpulan Bank Dunia.

Menurut bank itu dalam kenyataan hari ini, DBS, Deutsche Bank, Global Infrastructure Partners (sebahagian daripada BlackRock), HSBC, ING dan Natixis CIB menyertai IFC dalam pusingan pembiayaan yang terkini untuk projek dengan kapasiti 98 megawatt di Johor Bahru.

Projek itu merupakan fasa pertama kampus pusat data seluas 29.34 hektar dijangka menyediakan kapasiti IT yang penting sebanyak 300 megawatt apabila siap.

“Projek itu dijangka menjadi antara pusat data terbesar dan paling maju dari segi teknologi di Asia Pasifik, menyokong permintaan yang berkembang pesat untuk kapasiti pemprosesan data di rantau ini,” katanya.  

Menurut Bank Dunia, IFC mengumumkan pakej pembiayaan sehingga US$150 juta untuk projek Yondr di Malaysia pada Mei 2024, terdiri daripada pinjaman jangka pendek sebanyak US$50 juta yang memainkan peranan penting dalam memajukan projek tersebut dan menarik enam institusi kewangan antarabangsa dalam pusingan pembiayaan terkini ini.

Katanya IFC kini komited untuk peringkat kedua pembiayaan sebanyak US$100 juta bersama-sama dengan pembiayaan daripada pemberi pinjaman lain.  

Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia Judith Green berkata projek ini bukan sahaja akan membantu mempercepatkan transformasi digital di rantau Asia Pasifik tetapi juga menjadi contoh yang baik berhubung penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan oleh IFC yang dapat mengurangkan risiko projek dan mendorong pelaburan sektor swasta dalam pasaran sedang pesat membangun.

“Kami berbesar hati untuk melaksanakan peringkat kedua pembiayaan kami ini untuk kampus pusat data Yondr di Malaysia,” katanya.  

Projek itu merupakan pelaburan ketiga IFC di Malaysia sejak berada di negara ini pada 2023.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan