EKONOMI > BERITA

PNB UMUM AGIHAN PENDAPATAN 5.75 SEN SEUNIT, BAYAR AGIHAN PENDAPATAN BERJUMLAH RM10.1 BILION

24/12/2024 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis -- Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024.

Pengagihan itu terdiri daripada pendapatan 5.50 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.

Jumlah pembayaran RM10.1 bilion akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB, kata PNB dalam satu kenyataan hari ini.

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.

ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank, bilangan akaun ASB meningkat 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, kata PNB.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata berkata pengagihan 5.75 sen seunit adalah pembayaran tertinggi sejak 2020.

“Tahun lepas, kita bayar sebanyak RM9.3 bilion. Secara kumulatif, ASB telah mengagihkan RM196.5 bilion sejak penubuhannya,” katanya pada taklimat bersama pengarang media di Merdeka 118 pada Isnin.

Abdul Rahman menyifatkan pembayaran lebih tinggi itu disebabkan prestasi lebih kukuh dalam pasaran ekuiti Malaysia, membolehkan ASNB memberikan pulangan yang lebih baik.

“Sejak lima tahun lepas, pemberian dividen adalah mencabar kecuali tahun ini kerana ia mencerminkan prestasi pasaran saham Malaysia. Jika pasaran terus menunjukkan prestasi yang baik, kami berharap dapat mengekalkan pengagihan dividen seperti ini,” katanya.

Beliau berkata PNB menyasarkan pertumbuhan yang bercita-cita tinggi, menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) daripada RM347 bilion pada 2024 kepada RM400 bilion menjelang 2027.

Tahun ini, PNB mencatatkan peningkatan 3.2 peratus dalam jumlah akaun kepada 16.2 juta dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unit baharu.

Bagi memacu pelaburan berulang, Abdul Rahman berkata PNB merancang untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat menabung yang lebih kukuh.

“Sebagai contoh, kami akan mempromosikan idea bahawa jika anda simpan RM150 sebulan dan biarkan ia berkembang selama 10 tahun dengan pengkompaunan pada simulasi lima peratus konservatif, lebih rendah daripada 5.5 atau 5.75 peratus yang ditawarkan oleh ASB...anda boleh mengumpul hampir RM23,000,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan mengenai statistik, sebanyak 51 peratus rakyat Malaysia masih belum mula melabur manakala 40 peratus orang dewasa belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan.

“Ini adalah cabaran kritikal yang perlu kita tangani. Mereka yang menabung pun...simpanan tidak mencukupi,” katanya.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata selama lebih 45 tahun, PNB telah diamanahkan untuk menjaga wang simpanan rakyat.

"Kami menyedari cabaran yang lebih luas mengenai wang simpanan yang tidak mencukupi dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata PNB akan terus mempertingkatkan usaha celik kewangannya untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan