EKONOMI > BERITA

PELABURAN BERIMPAK TINGGI DI SOGIP DIJANGKA BEROPERASI PADA 2026, 2027 - HAJIJI

28/12/2024 04:54 PM

SIPITANG, 28 Dis (Bernama) -- Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang memperoleh pelaburan kira-kira RM29.87 bilion dijangka mula beroperasi pada 2026 dan 2027, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pelaburan itu diperoleh antaranya daripada Esteel untuk kilang keluli hijau dengan nilai pelaburan RM20 bilion, serta Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang membangunkan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung dengan nilai pelaburan RM8.8 bilion.

Pelaburan lain bernilai RM1 bilion daripada E-Concern Sdn Bhd bagi pengurusan sisa dan daripada Texas Evolosi Waste Management Sdn Bhd bernilai RM70 juta.

“Semua syarikat yang saya sebut itu akan mula beroperasi pada 2026 dan 2027. Semua pelaburan ini akan mencipta peluang pekerjaan seawal di fasa pembinaan dan semasa operasi.

“Sudah tentu penduduk Sipitang dan sekitarnya akan mendapat limpahan dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya dalam ucapan merasmikan Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Makanan Tradisi sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah  Datuk Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata kalangan pelabur asing dan domestik kekal yakin dengan pentadbiran negeri yang mempunyai hala tuju yang jelas dan keyakinan mereka dibuktikan melalui pelaburan RM1.7 bilion tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata industri pelancongan di Sipitang perlu diperkasakan untuk menjana manfaat ekonomi dan pekerjaan, memandangkan kedudukan daerah itu yang amat strategik, berhampiran dengan Brunei dan Kalimantan, Indonesia serta Sarawak dan Labuan.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong perayaan tradisi seperti adat makan tahun etnik Kadayan dan mahu acara itu diteruskan bagi memupuk perpaduan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan