KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) MS2530:2022 (MSPO 2.0) berkuat kuasa secara rasmi hari ini, memperkenalkan garis panduan yang lebih tegas mengenai kemampanan, kebolehkesanan dan amalan etika dalam pengeluaran minyak sawit.
Dalam kenyataan hari ini, MSPO berkata MSPO 2.0 menambah baik Piawaian MSPO 2013 asal, dengan mengguna pakai syarat yang lebih tegas dan komprehensif, selaras dengan piawaian global semasa dan jangkaan terhadap amalan kemampanan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus.
"Sejak diperkenalkan pada 2013, pensijilan MSPO mandatori telah menjadi teras kepada komitmen Malaysia terhadap kemampanan dan ketelusan.
"Audit pensijilan MSPO dijalankan oleh badan pensijilan bertauliah pihak ketiga yang bebas, memastikan piawaian tertinggi dari segi integriti dan kebolehpercayaan," kata MSPO.
Menurutnya MSPO 2.0 membangunkan asas ini menerusi langkah-langkah kemampanan yang dipertingkatkan untuk mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam pengurusan minyak sawit yang bertanggungjawab.
"Mekanisme kebolehkesanan yang komprehensif memastikan ketelusan rantaian bekalan manakala pengenalan pensijilan peniaga mandatori memperluas keperluan kemampanan melibatkan semua peringkat rantaian bekalan," kata MSPO.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata MSPO 2.0 menunjukkan langkah seterusnya dalam memastikan minyak sawit Malaysia kekal sinonim dengan kemampanan dan kebolehpercayaan di pasaran global.
"Melalui piawaian yang dipertingkatkan ini, kami melindungi masa depan industri minyak sawit kita dan pada masa sama terus menjadi ikutan di pentas global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial