KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menubuhkan Konsortium Pembinaan Melayu melibatkan kontraktor kelas G1 hingga G7 untuk menyertai projek pembangunan seluas 50 ekar (20.23 hektar) tanah di Bandar Malaysia yang diwartakan sebagai tanah rizab Melayu.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata DPMM juga mahu ahlinya terlibat dalam projek pembangunan tersebut.
“Saya telah menyuarakan hasrat DPMM kepada kerajaan untuk menubuhkan Konsortium Pembinaan Melayu kelas G1 hingga G7 bagi mengumpulkan kontraktor Melayu yang berwibawa untuk sekurang-kurangnya terlibat dalam pembangunan 20.23 hektar tanah di Bandar Malaysia yang diwartakan sebagai tanah rizab Melayu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini sejajar dengan program DPMM yang dinamakan GEMA (Gerakan Ekoniaga MADANI) DPMM 2025 antara lain mengumpulkan usahawan Melayu melalui konsortium mengikut kluster di seluruh negara bagi menyertai projek mega di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) bersetuju dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd untuk membangunkan tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia.
Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berskala besar disasarkan untuk menjadi hab bandar bercampur dengan kemudahan kediaman, komersial dan berorientasikan transit (pembangunan bandar yang memperluas ruang dan jumlah kawasan berpenduduk, perniagaan dan ruang lapang untuk jarak berjalan dengan pengangkutan awam).
KLCCH akan melaksanakan pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang.
“Pembangunan ini dirancang sebagai hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang boleh didiami dan inklusif untuk komuniti,” katanya.
Norsyahrin berkata DPMM berharap lebih banyak pihak berkepentingan tampil untuk sama-sama menggembeling usaha dan ikhtiar agar lebih banyak tanah rizab Melayu, tanah warisan dan banyak lagi dapat dibangunkan agar nilai dan fungsinya selaras dengan pasaran dan kehendak semasa.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt 2024, Anwar berkata 20.23 hektar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai tanah rizab Melayu.
Terletak di bekas tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat Jalan Sungai Besi di sini, Bandar Malaysia ialah pembangunan seluas 196 hektar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial