EKONOMI > BERITA

PELABURAN NVIDIA KUKUH KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM RANTAI BEKALAN CHIP - PAKAR

10/01/2025 11:19 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pelaburan NVIDIA yang signifikan di Malaysia adalah relevan kepada negara memandangkan syarikat itu memberi tumpuan kepada seni bina cip khusus, ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan cip global, kata seorang pakar.

Kerjasama NVIDIA dengan YTL membawa masuk pelaburan berjumlah RM20 bilion ke Malaysia.

Profesor Sejarah Antarabangsa, Prof Dr Chris Miller dari The Fletcher School, Tufts University, menjelaskan walaupun NVIDIA adalah syarikat cip yang terbesar di dunia, ia hanya membuat reka bentuk cip dan tidak terlibat dalam pembuatan, pembungkusan atau pemasangan. Walaupun begitu, NVIDIA kekal sebagai syarikat cip terbesar mengikut nilai pasaran.

“Saya fikir trend ini dan tumpuan yang semakin meningkat pada reka bentuk cip adalah sangat relevan kepada Malaysia kerana ia sedang berusaha untuk mempelbagaikan kedudukannya dalam rantaian bekalan cip dan mengambil peranan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2025 yang diadakan di sini hari ini.

Firma teknologi utama seperti NVIDIA, yang memiliki kepakaran dalam cip tujuan khas untuk kecerdasan buatan (AI), adalah bidang kemajuan yang paling pantas.

“Inilah sebabnya mengapa syarikat-syarikat teknologi cip yang terbesar di dunia menjadi pereka cip. Microsoft, Alibaba, Baidu dan Facebook semuanya mereka bentuk cip mereka sendiri, mereka sedar dengan mempunyai cip yang disesuaikan dengan keperluan sebenar mereka, ianya akan menjadikan mereka lebih mampu menjalankan beban kerja AI yang mereka perlukan,” katanya.

Pengkhususan adalah pemacu utama kemajuan tetapi ia juga meningkatkan kuasa dan pengaruh syarikat teknologi terbesar, memberikan mereka akses kepada pengkomputeran yang berkualiti tinggi selain kos yang lebih rendah berbanding pemain lain dalam ekonomi, katanya.

Ini memaksa syarikat berkenaan untuk mendorong had fizik dan kimia kerana ia menggabungkan lebih banyak keupayaan pengkomputeran. 

Beliau menyatakan bahawa trend yang dipanggil pembungkusan termaju sedang membentuk semula industri cip.

“Semua ini mempunyai implikasi yang ketara kepada negara seperti Malaysia, yang sudah tentu bukan pendatang baharu dalam industri cip,” katanya.

“Malaysia telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor multinasional selama setengah abad. Ini bermakna Malaysia mempunyai peluang sebenar dan saya berpendapat, ini membentangkan cabaran luar biasa yang timbul daripada peralihan dalam rantaian bekalan ini,” katanya lagi.

Millet ketika mengulas mengenai strategi semikonduktor Malaysia berkata landskap geopolitik memberikan kedua-dua peluang dan risiko, menjadikan sikap yang tidak agresif, sukar dalam industri strategik sedemikian .

“Lanskap geopolitik, peretakan rantaian bekalan serta pempolitikan setiap segmen reka bentuk dan pembuatan cip akan memaksa syarikat Malaysia mempertimbangkan bukan sahaja ekonomi rantaian bekalan tetapi juga politik, walaupun dalam segmen yang mungkin tidak kelihatan sensitif dalam masa lalu dilihat semakin dipolitikkan hari ini,” katanya. 

Miller juga menegaskan kekuatan Malaysia dalam pembungkusan serta pemasangan akan menyaksikan peningkatan penyelidikan dan pembangunan termasuk perkhidmatan nilai tambah (walaupun bakal menyaksikan lebih banyak persaingan daripada ekonomi maju).

“Keupayaan pembungkusan dan pemasangan yang mana Malaysia cemerlang hari ini sedang mengalami perubahan dramatik, didorong oleh trend dalam pembungkusan termaju. Setiap pemproses AI hari ini bergantung pada keupayaan pembungkusan terkini, yang ditetapkan untuk membentuk semula landskap pembungkusan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan