EKONOMI > BERITA

ANGGOTA ASEAN PERLU FOKUS PEMBANGUNAN MAMPAN SEBAGAI SATU KUMPULAN- PAKAR

13/01/2025 06:06 PM

Oleh Zarul Effendi Razali and Abdul Hamid A Rahman

PETALING JAYA, 13 Jan (Bernama) -- Seorang ahli ekonomi telah menyeru agar negara anggota ASEAN bertindak sebagai satu kumpulan dalam memberi lebih tumpuan kepada pembangunan mampan dengan mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dengan kemajuan teknologi dan keterangkuman sosial.

Seorang profesor ekonomi terkemuka dari Universiti Columbia, Jeffrey D Sachs berkata ekonomi baharu itu sedang berusaha menjadi mampan alam sekitar.

Ini dicerminkan melalui transformasi sistem tenaga yang bergantung pada teknologi sifar karbon atau rendah, transformasi sistem pengangkutan yang mengkhusus kepada kenderaan elektrik, peralihan dalam industri perkapalan ke arah ekonomi berasaskan hidrogen dan transformasi digital yang dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ini menunjukkan trajektori pembangunan mampan. Saya mencadangkan supaya usaha ini dibuat sebagai satu kumpulan dalam ASEAN, bukannya satu negara pada satu masa, ia akan menjadi lebih berkesan kerana sebagai satu kumpulan, negara-negara ASEAN mempunyai pasaran yang besar. 

“Mereka akan menjana lebih banyak peluang pelaburan. Mereka akan menggunakan ketersambungan pengangkutan, kuasa dan digital bagi meningkatkan daya saing serantau,” kata Sachs kepada Bernama semasa Bengkel Pembangunan Mampan ASEAN (AWSD) 2025 di sini hari ini.

Seiring dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Sachs berharap ASEAN benar-benar mengemukakan pendekatan yang jelas kepada ketersambungan serantau serta strategi untuk ekonomi masa depan yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan, pendigitalan dan mesra alam. 

Beliau berpendapat bahawa ini sebahagiannya berpunca daripada hubungan kukuh ASEAN dengan China termasuk perdagangannya dengan seluruh dunia seperti Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Amerika Latin.

“Jadi, saya fikir terdapat banyak diplomasi di hadapan dan ini amat penting, yang mana perjanjian serantau antara ASEAN serta bahagian lain di dunia mampu dicapai.

“Akan ada sidang kemuncak serantau pada tahun ini, membabitkan Timur Tengah, sebagai contoh serta ASEAN dan saya berpendapat ini sangat menjanjikan,” katanya.

Sachs yakin kejayaan boleh dicapai tetapi beliau turut mengingatkan bahawa perubahan ini tidak akan diraih dalam satu atau dua tahun kerana ia merupakan satu pelaburan jangka panjang. 

“Anda perlu membangunkan rel pantas, anda perlu membina transmisi digital dan anda perlu membina sistem tenaga karbon sifar.

“Jadi, ini bukan usaha dari satu tahun ke tahun berikutnya tetapi melibatkan perancangan jangka panjang, pembiayaan dan kerjasama,” katanya lagi.

Sementara itu, Sachs juga melihat kumpulan BRICS sebagai dinamik terpenting yang boleh menangani beberapa isu praktikal termasuk sama ada dasar dunia menjadi terlalu melindungi atau Amerika Syarikat (AS) menjadi terlalu agresif dalam ancamannya terhadap negara lain.

“BRICS ialah kumpulan yang mempunyai kira-kira 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global, dengan China dan India sedang berkembang pesat (ekonomi utama). 

“Turut menjadi sebahagian daripada matlamat BRICS adalah mewujudkan alternatif kepada sistem kewangan berasaskan dolar US, sekiranya AS cuba mengenakan sekatan atau halangan kepada negara-negara lain untuk tidak berdagang antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata BRICS bertujuan untuk menjamin perdagangan dan pelaburan diteruskan tanpa gangguan, dan BRICS adalah kumpulan yang amat menguntungkan untuk menjadi sebahagian daripadanya. 

“ASEAN adalah rantau yang baik untuk Malaysia tetapi hakikatnya, Thailand, Indonesia dan Malaysia sekarang ini (adalah sebahagian daripada BRICS), keaggotaan BRICS (akan menjadi) satu lagi laluan penting ke arah pembangunan Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan