Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kenaikan gaji secara berperingkat tidak akan membawa kepada tekanan inflasi yang berlebihan, kata ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan.
Beliau berkata dengan melaksanakan kenaikan itu dalam tempoh dua tahun, kerajaan boleh mengelak kejutan mendadak terhadap belanjawan, sambil menyokong disiplin fiskal dan mengekalkan keseimbangan antara meningkatkan gaji sektor awam dan mengawal inflasi.
"Impak daripada langkah menaikkan gaji penjawat awam yang sering dipandang enteng adalah potensi kesan positifnya terhadap penarafan kredit negara - selagi kenaikan itu diuruskan secara mampan dan dalam konteks dasar fiskal yang lebih meluas," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata pengurusan fiskal yang berkesan, seperti kenaikan gaji yang dirancang dengan teliti dan berhemat yang tidak membawa kepada defisit belanjawan atau tekanan inflasi berlebihan, memberi isyarat positif kepada agensi penarafan bahawa negara adalah peminjam yang boleh dipercayai.
"Penarafan kredit yang lebih tinggi secara amnya menarik lebih banyak pelaburan asing, kerana pelabur lebih cenderung untuk melabur di negara yang mempunyai penarafan kredit tinggi, menganggapnya sebagai berisiko rendah dengan potensi besar untuk pulangan yang stabil," katanya.
Beliau juga berkata peningkatan pelaburan asing meningkatkan permintaan terhadap mata wang tempatan, yang menyumbang kepada kestabilan kadar pertukaran.
"Mata wang yang stabil mengurangkan turun naik kadar pertukaran, menjadikan negara ini lebih menarik untuk pelabur domestik dan antarabangsa," katanya.
Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pegawai dalam kumpulan Pelaksana, Pengurusan dan Profesional menerima pelarasan gaji berperingkat sebanyak 15 peratus - lapan peratus pada Fasa Satu bermula Disember 2024, dan tujuh peratus pada Fasa Dua, mulai Januari 2026.
Bagaimanapun, kumpulan pengurusan tertinggi menerima pelarasan gaji sebanyak empat peratus dalam Fasa Satu dan tiga peratus dalam Fasa Dua.
Mohd Sedek berkata pendekatan kenaikan gaji secara berperingkat membantu kerajaan menguruskan tekanan belanjawan dan mengelakkan lonjakan harga yang mendadak.
"Selain itu, pendapatan penjawat awam yang lebih tinggi membawa kepada peningkatan pendapatan boleh guna, seterusnya meningkatkan perbelanjaan pengguna dan memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelaraskan gaji sektor awam dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutama di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
Mohd Sedek turut mengakui bahawa usaha merapatkan jurang gaji merupakan proses yang berperingkat.
“Proses untuk menaikkan gaji agar sepadan dengan inflasi dan kos sara hidup memerlukan perancangan teliti dan berterusan. Bagaimanapun, kerajaan boleh melakukan peranan penting dalam mengawal pemboleh ubah utama yang mempengaruhi kos sara hidup seperti perumahan, pengangkutan, dan barang asas, melalui dasar bersasar.
“Menerusi usaha mengatasi faktor ini, kerajaan boleh mengurangkan tekanan ke atas rakyat dan meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka, walaupun kenaikan gaji sahaja tidak mencukupi," katanya.
Walaupun inflasi makanan di Malaysia lebih tinggi berbanding negara jiran ASEAN, negara ini mempunyai kelebihan dalam mengekalkan kos pengangkutan dan perumahan yang lebih stabil, berasaskan rangka kerja subsidi dan kawalan harga utiliti.
Mohd Sedek juga berkata turun naik harga RON95 dan diesel mempunyai kesan langsung yang agak lemah terhadap isi rumah Malaysia terutama memandangkan sistem subsidi bahan api kerajaan masih diteruskan.
“Subsidi ini bertindak sebagai mekanisme penstabil, menyerap ubahan kos yang berlaku akibat perubahan harga minyak mentah global, sekali gus mengekang perubahan kos sara hidup yang ketara.
“Bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, yang lebih rentan akibat perubahan harga, penstabilan ini berperanan penting dalam melindungi mereka daripada tekanan kewangan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata sistem subsidi yang disasarkan dengan baik, jika dilaksanakan secara berkesan, akhirnya dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, serta menggalakkan agihan subsidi yang lebih saksama.
Oleh yang demikian, Mohd Sedek menggesa penggubal dasar supaya memberikan tumpuan kepada kawalan kos barangan dan perkhidmatan asas seperti makanan, tenaga, dan perumahan, dengan menangani masalah kekangan bekalan.
“Sebagai contoh, dasar yang menggalakkan peningkatan persaingan dalam sektor seperti pertanian atau tenaga boleh membantu mengurangkan harga, memberikan manfaat kepada pengguna dan mengekalkan kuasa beli mereka,” katanya.
Beliau berkata dasar awam perlu menyediakan insentif kepada industri yang menumpukan peningkatan produktiviti, memandangkan pertumbuhan gaji perlu seiring dengan peningkatan produktiviti untuk mampan bagi jangka masa panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial