EKONOMI > BERITA

KERJASAMA STRATEGIK PENTING DEMI PEMBANGUNAN HARTANAH MALAYSIA - LIM

16/01/2025 07:23 PM

PETALING JAYA, 16 Jan (Bernama) -- Sektor pembangunan hartanah Malaysia memiliki potensi yang besar pada masa depan, bagaimanapun, kejayaan itu bergantung kepada kerjasama yang strategik, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata usaha kerjasama itu yang melibatkan pihak kerajaan, industri dan dunia akademik penting bagi menangani cabaran utama dan menggalakkan pembangunan mampan.

"Saya yakin masa depan sektor pembangunan hartanah Malaysia adalah sangat cerah. Dengan kerjasama kerajaan, pihak industri dan dunia akademik, kita berupaya membina Malaysia yang lebih mampan, terangkum dan makmur," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Siri CEO: Forum Ekonomi dan Perniagaan 2025 anjuran Institut REHDA hari ini.

Dalam pada itu, Lim berkata persidangan tahunan pemaju hartanah itu juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk masa depan sektor pembangunan hartanah Malaysia. 

"Persidangan ini bukti komitmen Malaysia dalam menyerlahkan potensinya di peringkat global.

"Dengan kepengerusian Asean-Malaysia pada 2025, acara ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju di rantau ini," katanya.

Lim berkata platform seperti Siri CEO ini amat diperlukan bagi memupuk dialog yang produktif antara kerajaan dan pemain industri.

"Dialog ini penting bagi memperhalusi dasar dan membentuk industri masa depan.

"Sejak ia diperkenalkan pada 2016, acara ini menjadi platform bagi pihak industri, yang terdiri daripada sektor pembinaan, perbankan, hospitaliti, pembuatan dan pembangunan hartanah menerima liputan media yang meluas serta memacu impak yang lebih berkesan," katanya. 

Sementara itu, Lim memuji Institut REHDA yang menjalin kerjasama dengan pihak universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Monash dan Universiti Sunway bagi memastikan program pendidikan mereka selari dengan keperluan industri.

“Saya menyeru agar REHDA terus menjalin kerjasama, terutamanya dalam penyelidikan, untuk meningkatkan keupayaan universiti dan kesediaan siswazah serta meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya.

Siri CEO 2025 mengumpulkan lebih 350 pemimpin kerajaan dan industri, termasuk wakil daripada persatuan sektor swasta dan pihak berkuasa kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan