KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Industri rantaian bekalan dan logistik Malaysia menerima rangsangan hari ini apabila lebih 150 pemimpin industri bersidang di forum “Future of Supply Chains: Optimising, Planning, and Automating for Success”, anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Ally Logistic Property (ALP).
Forum itu memberi tumpuan kepada pendigitalan, automasi dan amalan mampan dalam logistik, bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik di tengah-tengah peralihan rantaian bekalan global.
Dalam satu kenyataan bersama dengan ALP hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA Zalina Zainol berkata kerajaan komited untuk menyokong transformasi sektor itu melalui insentif dan inisiatif bersasar.
“Negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang yang tercipta daripada peralihan global dalam rantaian bekalan, tetapi untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, kita mesti memastikan infrastruktur dan perkhidmatan logistik lengkap bagi memenuhi permintaan yang berkembang.
"Kerajaan memainkan peranan proaktif untuk menggalakkan inovasi melalui pengenalan pengecualian cukai pendapatan untuk syarikat Kompleks Logistik Pintar dalam Belanjawan 2025, menggalakkan penggunaan teknologi Industri 4.0 dalam pergudangan dan logistik bagi memacu operasi yang lebih pintar dan cekap," katanya.
Zalina menambah di MIDA, tumpuan adalah untuk menggalakkan inovasi dan kemampanan, dengan inisiatif seperti Dana Pemecut Pelaburan Domestik (DIAF) yang memainkan peranan penting membantu perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengamalkan amalan yang lebih pintar dan lebih mampan.
“Kami juga komited untuk menyokong transformasi digital syarikat-syarikat logistik Malaysia, terutamanya dalam bidang seperti e-dagang dan e-pemenuhan.
“Sehingga September 2024, MIDA telah meluluskan 111 projek Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) bernilai RM12.85 bilion dan memberikan status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) kepada 301 syarikat,” katanya.
Sementara itu, forum berkenaan menampilkan dua sesi utama, yang pertama memfokuskan kepada pengoptimuman rantaian bekalan dengan SPX Express dan Ninja Van berkongsi strategi untuk meningkatkan aliran kerja, pengurusan inventori dan bahagian terakhir penghantaran melalui transformasi digital.
Sesi kedua menangani masalah automasi, dengan pencerapan daripada 7-Eleven Malaysia dan Quicktron Singapura mengenai robotik dan perisian dalam logistik, kata kenyataan itu.
“Para peserta mendapat pendedahan langsung yang tidak ternilai kepada teknologi termaju dan menyaksikan demonstrasi secara langsung di sepanjang forum.
“Forum ini berfungsi sebagai platform yang kuat untuk membina perkongsian strategik semasa sesi rangkaian bersasar dan menawarkan cerapan menyeluruh mengenai inisiatif kerajaan yang menyokong automasi dan digitalisasi,” tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial