EKONOMI > BERITA

WEF 2025: SYARIKAT AUSTRALIA SETUJU MELABUR DALAM TENAGA ALTERNATIF HIDROGEN HIJAU DI SARAWAK - PERDANA MENTERI

23/01/2025 12:07 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 23 Jan (Bernama) -- Syarikat perlombongan logam global dari Australia, Fortescue telah bersetuju untuk melabur dalam tenaga alternatif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan dengan pimpinan syarikat diketuai Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Fortescue, Dr Andrew Forrest AO di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini.

"Kerajaan Sarawak bersetuju pada prinsip dan saya telah beri jaminan beberapa insentif dan dukungan supaya Bintulu akan menjadi hab," katanya pada sidang media penutup sempena lawatan kerja beliau ke WEF 2025, di sini.

Pada Selasa lepas, Anwar mengetuai delegasi Malaysia menghadiri mesyuarat perniagaan bersemuka diatur oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pemimpin syarikat korporat mewakili Fortescue, AstraZeneca, DP World, Medtronics, Nestle dan Google.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan menerusi pertemuan dengan syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia itu, syarikat pelabuhan besar dari Dubai, DP World yang masuk ke Sepanggar, Sabah, telah mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan.

"Supaya di Sabah akan muncul pelabuhan yang agak besar di rantau bila Dubai Ports masuk, Kerajaan Persekutuan telah maklum kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah untuk memberikan sepenuh dukungan dan kerjasama," tambah beliau.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Google akan terus melaksanakan program-program besar seperti yang telah bertapak di Selangor iaitu pusat data, ia akan memberi manfaat khususnya di Semenanjung Malaysia, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Selanjutnya, beliau berkata turut dibincangkan pada pertemuan dengan syarikat-syarikat global ialah berkaitan isu kecerdasan buatan (AI) termasuk dalam bidang perubatan dan juga pendidikan.

Anwar menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai perdana menteri sejak memegang tampuk pemerintahan pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab dari 20 hingga 22 Januari.

Sepanjang lawatan selama tiga hari, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan