EKONOMI > BERITA

POTENSI BESAR ASEAN MESEJ UTAMA MALAYSIA DI WEF 2025 - PM ANWAR

23/01/2025 12:09 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 23 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penekanan terhadap potensi besar rantau ASEAN merupakan mesej utama yang disampaikan sempena kehadiran beliau di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini.

Selaku pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata Malaysia memberi penekanan terhadap keistimewaan rantau ini termasuk dalam bidang ekonomi dan perdagangan pada sesi WEF 2025 kali ini.

“Ia sama ada berdagang secara intra (ASEAN) dan juga perdagangan sebagai sebuah kekuatan dengan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS. 

“Kita menyatakan ASEAN dengan hampir 700 juta penduduk, mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pesat dan rantau yang lebih aman itu mempunyai potensi yang besar,” kata beliau pada sidang media penutup sempena lawatan kerja beliau ke WEF 2025 di sini.

Menurut Anwar, selain daripada potensi perdagangan dan ekonomi, ASEAN juga ingin memberi tumpuan kepada isu transisi tenaga selain isu seperti asas pendidikan, teknologi makanan, kesalinghubungan dan digital.

“Tumpuan kita selain asas pendidikan dan teknologi makanan adalah transisi tenaga -- dengan grid dari Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia ke Filipina. Ini suatu yang agak berlainan, satu kemajuan luar biasa,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.

Lawatan kerja ke Davos merupakan destinasi terakhir dalam siri lawatan kerja beliau merangkumi empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Belgium dan terakhir di Switzerland.

“Kita bersyukur walaupun ini kali pertama saya hadir selaku Perdana Menteri, saya rasa layanan dan pengiktirafan (WEF) kepada negara sangat baik. 

“Ini sama ada laluan yang diberikan pada sidang plenari (ASEAN) dan sidang serentak yang dihadiri menteri-menteri lain,” kata beliau.

Sepanjang lawatan selama tiga hari ke WEF 2025, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Antara sesi forum yang melibatkan ASEAN pada WEF 2025 termasuklah mesyuarat “ASEAN Leaders for Just Energy Transition”, taklimat media bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness” dan sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan