EKONOMI > BERITA

WESTPORTS CATAT KEUNTUNGAN BERSIH LEBIH TINGGI SEBANYAK RM897.98 JUTA

23/01/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd meningkat kepada RM897.98 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 berbanding RM779.43 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

Pendapatan menokok kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion.

Westports melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia telah mencapai angka pendapatan tertingginya sebanyak RM2.34 bilion, dipacu oleh volum kontena yang memecahkan rekod sebanyak 10.98 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

“Tahun tersebut berakhir dengan syarikat mengendalikan satu lagi rekod bulanan baharu sebanyak 1.01 juta TEU pada Disember 2024,” katanya.

Dengan pencapaian rekod keuntungan bersih sepanjang masa sebanyak RM897.98 juta, jumlah dividen yang akan diagihkan kepada para pemegang saham bagi tahun kewangan 2024 juga akan mencapai rekod baharu sebanyak RM673.48 juta.

Lembaga pengarahnya telah meluluskan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 10.86 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, berjumlah RM370.33 juta, yang akan dibayar menjelang 21 Feb 2025. 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih baik pada paras RM256.65 juta berbanding RM206.08 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama semasa tahun kewangan 2023, didorong oleh peningkatan dalam hasil kontena dan keuntungan kasar yang lebih tinggi.  

Hasil turut melonjak kepada RM675.43 juta daripada RM554.06 juta sebelumnya. 

Westports ketika mengulas mengenai unjuran berkata ia menjangkakan pertumbuhan volum kontena satu digit yang rendah untuk tempoh kewangan seterusnya.

“Manakala ketegangan di Timur Tengah kekal tinggi, pentadbiran baru Amerika Syarikat pula sedang mengalihkan fokus yang lebih lokal dan pertumbuhan di banyak negara maju masih perlahan,” katanya.

Ia berpendapat perdagangan Intra-Asia kekal sebagai pemacu volum utama kumpulan memandangkan ia merupakan pelabuhan pintu masuk terbesar Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan