KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- AmBank Group menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjadi sederhana kepada 4.6 peratus tahun in berbanding anggaran 5.0 peratus pada 2024.
Ketua Ahli Ekonomi Firdaos Rosli berkata pertumbuhan itu disokong oleh projek infrstruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh.
"Bagaimanapun, kami percaya kerajaan berdepan dengan dilema antara penyatuan fiskal dan prospek pertumbuhan dalam persekitaran luaran yang tidak menentu," katanya ketika taklimat media mengenai Tinjauan Makroekonomi di sini hari ini.
Beliau berkata peningkatan pelaburan telah bermula dengan pembentukan modal tetap kasar, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi dua suku berturut-turut sehingga suku ketiga 2024.
Kemajuan ini menyumbang dengan ketara terhadap peningkatan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun lepas.
Pada 2025, beliau menjangkakan pertumbuhan pelaburan yang agak kukuh didorong oleh kemajuan teknologi, projek infrastruktur dan inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding 2024.
“Meskipun tiada projek mega baharu diumumkan dalam Belanjawan 2025, pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang berjalan dan pelaksanaan pelaburan swasta yang diluluskan (RM1.2 trilion dari 2021 hingga September 2024) akan membantu mengekalkan momentum pelaburan,” kata Firdaos.
Antara projek utama yang menyumbang kepada momentum ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Pan-Borneo, Loji Hidroelektrik Nenggiri, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dan pusat data baharu.
Firdaos berkata untuk jangka pendek, eksport Malaysia akan menerima rangsangan sementara berikutan aktiviti penyimpanan menjelang pelaksanaan tarif baharu, yang akan memacu pertumbuhan pada awal 2025, dirangsang permintaan domestik yang teguh.
Peningkatan eksport ke Amerika Syarikat (AS) sejak akhir 2023 turut membantu mengurangkan penurunan eksport ke negara-negara lain, katanya.
Namun, beliau mengakui sumbangan positif eksport kepada eksport bersih akan dikurangkan oleh pertumbuhan berterusan import barangan modal, yang dipacu oleh peningkatan pelaburan.
Menuju masa depan, Firdaos memberi amaran potensi cabaran terhadap prestasi eksport Malaysia berikutan tarif AS yang lebih tinggi.
“Impak secara langsung mungkin boleh dilihat dengan ketara, memandangkan AS menyumbang 13.1 peratus daripada eksport keseluruhan Malaysia," katanya.
Beliau berkata impak terhadap eksport mungkin dapat dikurangkan jika ekonomi AS kekal teguh kerana pengimport AS dan pengguna terus aktif berdagang meskipun dikenakan tarif yang tinggi untuk memastikan aktiviti pasaran yang kukuh.
Halangan perdagangan juga mungkin timbul daripada permintaan yang lemah di pasaran eksport utama seperti China dan Kesatuan Eropah, yang kedua-duanya menghadapi keadaan ekonomi yang lemah dan halangan perdagangan yang semakin ketat.
“Dengan pertumbuhan import dijangka juga perlahan, kami tidak menjangkakan sebarang kesan negatif yang ketara daripada eksport bersih terhadap pertumbuhan keseluruhan,” kata Firdaos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial