EKONOMI > BERITA

IPO COLFORM GROUP TERLEBIH LANGGAN 41.82 KALI

27/01/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) Colform Group Bhd yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, merangkumi 30 juta saham baharu pada 36 sen setiap satu, telah terlebih langgan sebanyak 41.82 kali.

Pengeluar produk keluli dari Sabah itu, yang dijadualkan untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 10 Feb depan berkata 19,669 permohonan meliputi 1.28 bilion saham terbitan telah diterima daripada orang ramai.

“Bagi bahagian awam Bumiputera, sejumlah 9,619 permohonan untuk 518.82 juta saham terbitan telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 33.59 kali.

“Untuk bahagian awam Malaysia yang selebihnya, sejumlah 10,050 permohonan membabitkan 765.80 juta saham terbitan diterima, yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 50.05 kali,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

IPO syarikat itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 114.42 juta saham baharu serta tawaran untuk jualan 54 juta saham sedia ada, mewakili 28.07 peratus daripada terbitan saham yang diperbesarkan.

Colform berkata enam juta saham yang tersedia bagi permohonan oleh orang yang layak, termasuk pengarah dan pekerja, telah dilanggan habis.

Sementara itu, 132.42 juta saham IPO (yang merangkumi 78.42 juta saham terbitan serta 54 juta saham tawaran) untuk penempatan persendirian kepada pelabur tertentu termasuk pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), telah dikeluarkan sepenuhnya. 

Syarikat itu menyasarkan untuk mengumpul hasil kasar sebanyak RM41.19 juta, yang akan digunakan bagi membangunkan barisan pengeluaran salutan gegelung warna di kilangnya di Kota Kinabalu termasuk pengembangan ke Semenanjung Malaysia dan membina kemudahan penyimpanan antara lain.

Pengarah Urusan Colform Kang Ket Hung berkata dana yang dikumpul akan membolehkan syarikat itu memantapkan lagi operasinya, berkembang ke Semenanjung Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal terkemuka bagi penyelesaian keluli komprehensif.

“Dari konsep hingga selesai, kami menyampaikan perkhidmatan yang disesuaikan dengan reka bentuk, pengeluaran dan pemasangan termasuk sistem pembingkaian Sistem Binaan Berindustri (IBS)," katanya.

Mercury Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan