EKONOMI > BERITA

KENANGA IB KEKAL UNJUR TIV SEBANYAK 805,000 UNIT PADA 2025

28/01/2025 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 805,000 unit pada 2025 untuk industri automotif, disokong minat belian berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu.

Kenanga IB dalam nota penyelidikan berkata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang memegang 44 peratus bahagian pasaran TIV, dijangka mendapat manfaat paling banyak.

Ia berkata kelebihan diperoleh Perodua itu susulan kadar penyetempatan tinggi Perodua dapat menghasilkan kenaikan 10 peratus hingga 30 peratus dalam harga kenderaan pemasangan tempatan, pelancaran model baharu yang menarik, peningkatan pendapatan isi rumah dan pasaran buruh yang stabil.

Bagaimanapun, Kenanga IB berkata segmen premium pula berbeza kerana pelanggan sasarannya, kumpulan M40 dan T15, golongan tersebut mungkin tidak membeli kereta baharu, beralih kepada kereta yang lebih kecil atau bertukar kepada kenderaan hibrid dan elektrik untuk mengurangkan kos bahan selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Secara umumnya, keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 150,000 unit pada akhir Disember 2024.

“Lebih separuh daripada tunggakan itu terdiri daripada model baharu, merujuk kepada tarikan model baharu kepada pembeli kereta. Trend ini mungkin berlanjutan sepanjang 2025 berdasarkan pelancaran kereta baharu yang kukuh,” katanya.

Selain itu, Kenanga IB berkata jualan kenderaan juga akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu, menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan serta insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk model diimport sepenuhnya (CBU) dan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) untuk 2027.

“Kami menjangkakan insentif yang lebih baik daripada kerajaan yang telah menetapkan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 20 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.

“Sementara itu, kerajaan akan mempercepatkan kelulusan bagi stesen pengecasan. Bilangan stesen pengecas yang dicadangkan pada masa ini ialah 4,235 (3,354 dibina setakat ini) dan ini sepatutnya lebih dua kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir 2025,” katanya.

RHB Investment Bank Bhd pula kekal berhati-hati dalam tinjauan sektornya berikutan persaingan harga yang berterusan dalam segmen bukan nasional dan pesanan tertunggak berkurangan.

Ketidakpastian terhadap pelaksanaan cukai mewah dan rasionalisasi subsidi petrol juga berlanjutan.

Sehubungan itu, ia telah mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dengan unjuran TIV 2025 yang tidak berubah sebanyak 730,000, menjangkakan TIV yang lebih rendah apabila kesan asas tinggi bermula.

"Kami juga tidak melihat sebarang faktor yang menarik untuk jualan kereta 2025 dikekalkan pada tahap tinggi ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan