EKONOMI > BERITA

INDEKS HARGA PENGELUAR MALAYSIA MENINGKAT 0.5 PERATUS PADA DISEMBER 2024

28/01/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, meningkat secara perlahan pada 0.5 peratus tahun ke tahun bagi  Disember 2024 selepas susut 0.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Perangkaan (DOSM) berkata peningkatan ini didorong oleh prestasi berbeza dalam pelbagai sektor utama dengan kenaikan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perlombongan menguncup 7.0 peratus yang juga penurunan lebih kecil berbanding negatif 8.3 peratus pada bulan sebelumnya akibat terutamanya oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang turun 9.7 peratus.

“Sektor pembuatan mencatat penurunan perlahan 1.0 peratus (November 2024: -1.8 peratus) dengan subsektor utama iaitu pembuatan kok dan produk petroleum bertapis turun 15.5 peratus manakala pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal turun 1.5 peratus.

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatat peningkatan ketara 23.8 peratus pada Disember 2024 yang menunjukkan momentum lebih kukuh berbanding 21.8 peratus pada November 2024, didorong oleh kenaikan dalam indeks penanaman tanaman kekal (41.9 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.9 peratus manakala sektor bekalan air meneruskan trend peningkatan sebanyak 6.7 peratus.

Pada asas bulanan, katanya, IHPR Pengeluaran Tempatan terus meningkat 0.8 peratus pada Disember 2024 berbanding 1.4 peratus pada November 2024 dengan sektor pertanian, perhutanan dan  perikanan meningkat 1.6 peratus (November 2024: 8.5 peratus), disokong oleh penanaman tanaman kekal (2.1 peratus).

Beliau berkata sektor pembuatan menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 0.8 peratus (November 2024: 0.3 peratus), didorong oleh kenaikan dalam pembuatan produk makanan (3.2 peratus) dan pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (0.7 peratus).

Sektpr perlombongan sebaliknya mencatat penurunan kecil 0.2 peratus (November 2024: 5.7 peratus), akibat penurunan 2.4 peratus dalam indeks pengekstrakan gas asli.

“Bagi sektor utiliti, bekalan elektrik dan gas turun 0.2 peratus manakala bekalan air susut  0.3 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata IHPR Pengeluaran Tempatan terus turun 0.8 peratus pada suku keempat 2024 berbanding penurunan 0.2 peratus pada suku ketiga tahun sama yang disebabkan oleh sektor perlombongan (-11.0 peratus) dan pembuatan (-1.8 peratus).

Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatat peningkatan signifikan pada 19.8 peratus manakala sektor bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat sebanyak 6.7 peratus dan 0.9 peratus.

Pada asas suku tahun ke suku tahun pula, beliau berkata IHPR mencatat penurunan 0.8 peratus berbanding susut 1.6 peratus pada suku ketiga 2024.

Mengulas ringkasan prestasi tahunan IHPR keseluruhan, Mohd Uzir berkata  2024 menyaksikan IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus selepas  negatif 1.9 peratus pada 2023, didorong oleh kenaikan indeks positif bagi sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 7.9 peratus berbanding penurunan dua digit 13.8 peratus pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, sektor bekalan air serta elektrik dan gas juga masing-masing meningkat sebanyak 6.5 peratus dan 0.6 peratus.

“Namun, sektor perlombongan dan pembuatan masing-masing turun sebanyak 2.0 peratus dan 0.3 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan