KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China telah membuka peluang kepada industri semikonduktor Malaysia, kata Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Wong Siew Hai.
Sekatan AS, terutamanya yang dikenakan atas alasan keselamatan dan tarif telah menghalang banyak peralatan serta produk semikonduktor China daripada diimport atau dieksport.
“Banyak syarikat AS dihalang daripada membuat pembelian dari China, ini mewujudkan keperluan untuk penyelesaian alternatif, yang mana strategi China Plus One mengambil tempat,” katanya di Persidangan China Asia Tenggara di sini hari ini.
Strategi ‘China Plus One’ merujuk kepada syarikat -syarikat yang sebelum ini sangat bergantung kepada China untuk pembuatan tetapi sedang mempelbagaikan operasi mereka dengan berkembang ke salah satu negara lain.
Wong menjelaskan peralihan yang sama turut berlaku dengan strategi ‘US Plus One’ dan ‘Europe Plus One’.
“Kesannya, banyak produk yang sebelum ini dihasilkan di China untuk pasaran global telah dipindahkan ke Malaysia. Begitu juga, sekatan ke atas peralatan semikonduktor telah mewujudkan jurang dalam rantaian bekalan, yang boleh diisi oleh Malaysia,” katanya.
Beberapa komponen rantaian bekalan yang sebelum ini berasal dari China telah terhalang, mewujudkan peluang kepada Malaysia untuk membangunkan keupayaan tersebut secara domestik.
“Selain itu, banyak syarikat sedang berusaha untuk mengurangkan risiko dengan menubuhkan operasi di negara-negara yang neutral dan tidak berpihak. Malaysia menepati ciri-ciri profil ini, menjadikannya sebagai destinasi yang menarik kepada perniagaan yang ingin berkhidmat bukan sahaja untuk AS dan China tetapi juga seluruh dunia,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial