KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Malaysia boleh memacu sinergi ASEAN-China untuk mencapai ‘Abad Asia’ (era dominan Asia pada abad ke-21), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata ASEAN dan Malaysia adalah landasan untuk kemajuan dan Malaysia berminat bekerjasama lebih erat dengan Hong Kong dan China serta Asia Utara untuk mara kehadapan bersama-sama.
“ASEAN adalah pasaran dengan populasi hampir 700 juta orang dan semakin bertambah, manakala Hong Kong kekal sebagai pintu masuk ke China dan hab kewangan global.
“Dengan menjalin kerjasama, kita boleh mencorakkan Abad Asia,” kata beliau menerusi ucapan penutupnya pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025, hari ini.
Beliau juga berkata Hong Kong boleh berfungsi sebagai pintu masuk ASEAN ke China, manakala Malaysia boleh menjadi pintu masuk China bukan sahaja ke ASEAN tetapi juga melangkaui darinya.
“Perkara yang boleh kita lakukan bersama... seperti teknologi kewangan, industri kewangan patuh syariah, semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, pelancongan dan integriti rantaian bekalan.
“Tetapi sekiranya saya boleh menggalakkan penyertaan anda dalam apa-apa sahaja, saya galakkan untuk menyokong wanita dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) kami, termasuk menghubungkan mereka dengan perusahaan yang sama di Hong Kong,” katanya.
Tengku Zafrul juga berkata Malaysia mahu merealisasikan Kepusatan ASEAN tahun ini dan memastikan ASEAN amat diperlukan bukan sahaja kepada negara anggota tetapi kepada rakan seperti Hong Kong.
Beliau berkata Kepusatan ASEAN berfungsi untuk kepentingan semua orang.
“Kita banyak mendengar tentang apa yang menarik tentang ASEAN dan juga apa yang mencabar.
“Percayalah, apa yang Malaysia dan rakan-rakan ASEAN akan usahakan, bukan sahaja pada 2025 menerusi Priority Economic Deliverables (PED) kami, malah melalui Wawasan Komuniti ASEAN 2045, adalah untuk menggandakan kekuatan dan menangani cabaran,” katanya.
Beliau juga berkata akan sentiasa ada perdebatan tentang sepantas atau selambat mana kemajuan ASEAN, namun hakikatnya kekal bahawa ASEAN penting dan dunia menyedari akan kepentingannya.
“Jadi, bagi Asia Tenggara, ASEAN perlu terus memberi tumpuan utama kepada kerangka kita, sama ada melibatkan keselamatan atau ekonomi,” tegas beliau.
Selain itu, katanya, integrasi ASEAN adalah idea yang sudah sampai masanya perlu dilaksanakan tanpa mengira apa yang berlaku antara Washington DC dan Beijing.
“Persaingan AS-China tidak boleh menghalang kita daripada membina Komuniti ASEAN kita, atau menghapuskan keneutralan kita kerana tanpanya, daya tarikan kita sebagai sebuah rantau akan hilang,” katanya.
Justeru, katanya, 2025 akan menjadi anjakan perubahan bagi ASEAN.
“Ada sebab untuk yakin bahawa, PED yang kita telah kenal pasti bagi kepengerusian 2025 kita serta Wawasan Komuniti ASEAN 2045, jika dilaksanakan dengan betul, akan menjadi pembawa perubahan kepada rantau ini.
“Malaysia sentiasa berusaha untuk memaklumkan perkembangan terkini ASEAN agar ia relevan dengan cabaran terkini termasuk melalui usaha mengemas kini Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), melengkapkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan merealisasikan Grid Kuasa (APG) ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial