Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Esok merupakan anjakan penting bagi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) apabila syarikat itu akan nyahsenarai daripada Bursa Malaysia susulan langkah penyusunan semula oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA).
Sebelum ini, dagangan saham MAHB digantung pada 20 Feb, 2025 sebagai persediaan untuk penyahsenaraian.
Kerajaan mengatakan penyusunan semula itu akan membolehkan MAHB, yang menguruskan lapangan terbang domestik dan antarabangsa, bertindak lebih pantas terhadap tuntutan industri serta mempertingkatkan kapasitinya pada kadar lebih pesat dan pada masa sama menarik lebih banyak syarikat penerbangan.
Walau apa pun yang akan dihadapi MAHB, penyahsenaraian tersebut menandakan berakhirnya perjalanan korporat selama 25 tahun bagi pengendali lapangan terbang itu sebagai syarikat tersenarai, yang mula berada di papan dagangan Bursa pada 30 Nov, 1999 dengan harga RM2.50.
MAHB telah melakar sesi pembukaan cemerlang dengan premium 60 sen pada harga RM3.10 di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ketika itu, dan 985 lot telah didagangkan.
Dalam tempoh lima minit pertama dagangan, kalangan pelabur berebut untuk membeli sahamnya, dan keadaan itu mendorong harga meningkat kepada RM3.44 sesaham dengan 181 lot didagangkan.
Ketika disenaraikan, MAHB menjadi syarikat pengurusan lapangan terbang tersenarai pertama di Asia dan yang keenam di dunia berbuat demikian.
Penyahsenaraian dan penyusunan semula itu akan menjadikan MAHB sebagai syarikat dimiliki sepenuhnya oleh GDA, dengan kerajaan kekal sebagai pemegang saham khas.
Berikutan pengambilalihan oleh GDA diterajui Khazanah Nasional Bhd, kesemua lima pengarah bebas bukan eksekutif (INED) telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing, berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian.
Pada 12 Feb, 2025 GDA yang merupakan sebuah konsortium terdiri daripada Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Pelaburan Abu Dhabi dan Global Infrastructure Partners, memperoleh 1.64 bilion saham MAHB, atau 98.68 peratus daripada jumlah saham terbitan MAHB, setakat pukul 5 petang.
Seterusnya, pada 13 Feb, 2025 MAHB mengemukakan permohonan untuk nyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan sahamnya diniagakan buat kali terakhir pada 19 Feb, 2025.
Saham MAHB didagangkan kali terakhir pada RM10.90 sesaham, dengan 134,900 saham bertukar tangan.
Susulan itu, GDA bercadang untuk memperoleh kesemua saham MAHB daripada pemegang saham yang tidak bersetuju, pada harga RM11 sesaham, mengikut peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA).
Hari ini, MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik, dan 17 lapangan terbang landasan perlepasan dan pendaratan pendek (STOL) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Turkiye.
Pada 1999, MAHB ialah pemegang konsesi untuk pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang bagi tempoh 50 tahun, bermula 5 Mei, 1998 di samping menguruskan dan mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, 15 lapangan terbang domestik dan 17 lapangan terbang STOL di seluruh negara.
Pada 15 Mei, 2024 GDA dan para pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium itu, pada harga tawaran RM11 sesaham, bersamaan dengan RM18.4 bilion.
Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) Malaysia -- Khazanah Nasional melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd, dan KWSP.
Penyusunan semula itu dijangka merangsang pertumbuhan MAHB melalui pelbagai inisiatif yang akan menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan kesambungan syarikat penerbangan, menaik taraf infrastruktur lapangan terbang dan memberikan manfaat kepada ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial