KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd (SDP) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM502.20 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024), meningkat 23.1 peratus berbanding RM407.91 juta pada tahun sebelumnya.
Segmen pembangunan hartanahnya mengalami lonjakan sebanyak 38.7 peratus dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM815.04 juta, manakala segmen pelaburan dan pengurusan aset (IAM) serta rekreasi meningkatkan kerugian mereka.
Hasil bertambah kepada RM4.25 bilion pada TK2024 daripada RM3.44 bilion pada tahun sebelumnya, dengan semua segmen mencatatkan pertumbuhan, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
"SDP mencatatkan prestasi kewangan dan operasinya yang paling kukuh setakat ini, menandakan tahun ketiga berturut-turut merekodkan pendapatan, keuntungan dan prestasi jualan," katanya dalam kenyataan.
Ia berkata prestasi kewangan kukuh kumpulan yang kukuh itu disokong oleh momentum jualan yang mampan dan kemajuan yang lebih tinggi dalam segmen pembangunan hartanah, serta sumbangan hasil yang semakin meningkat daripada segmen IAM dan rekreasi.
Jualan mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM4.1 bilion, melebihi sasaran TK2024 sebanyak 17 peratus dan menunjukkan keupayaan kumpulan untuk menyampaikan produk yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang, kata SDP.
"Keputusan TK2024 kami ini mengesahkan kekuatan portfolio pelbagai kami dan pelaksanaan strategi SHIFT25 kami yang berkesan.
"Kami sekali lagi melangkaui had, merebut peluang pasaran secara strategik untuk menyampaikan satu lagi tahun berprestasi tinggi yang mencatatkan rekod," kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican.
Bagi suku keempat (S4) berakhir 31 Disember, 2024, keuntungan bersih susut kepada RM88.41 juta daripada RM131.26 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil turun kepada RM977.04 juta berbanding RM1.01 bilion sebelumnya.
Sehingga 31 Dis, 2024, jualan belum dibil kumpulan itu meningkat kepada RM3.7 bilion, memastikan pendapatan yang kukuh untuk tiga tahun akan datang.
SDP berkata nilai pembangunan kasar (GDV) yang tidak terjual untuk inventori siap, kekal rendah pada RM208.8 juta, manakala baki tunai kekal sihat pada RM640.4 juta.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen sesaham untuk S4 TK2024, menjadikan jumlah dividen bagi tahun tersebut kepada 3.0 sen sesaham (TK2023: 2.5 sen), dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM204 juta.
Mengenai prospek, SDP berkata ia bersedia untuk pertumbuhan yang berterusan, dipacu oleh ekonomi Malaysia yang berkembang dan momentum yang mampan dalam sektor hartanah.
"Dengan sasaran jualan sebanyak RM3.6 bilion dan pelancaran yang dirancang bernilai RM4 bilion dalam GDV, kumpulan terus fokus dalam melaksanakan strategi SHIFT25 dengan menyampaikan produk-produk bernilai tinggi di seluruh perbandarannya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial