KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Guan Chong Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi kepada RM429.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024) daripada RM100.93 juta pada tahun sebelumnya, yang sebahagiannya disebabkan harga jualan produk-produk koko yang lebih tinggi.
Hasil naik hampir dua kali ganda kepada RM10.44 bilion berbanding RM5.32 bilion sebelum ini, menurut pembuat bahan makanan berasaskan koko yang terkemuka di Asia itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat yang berpangkalan di Johor itu berkata bagi suku keempat, keuntungan bersihnya melonjak kepada RM212.98 juta daripada RM15.17 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM3.37 bilion berbanding RM1.77 bilion sebelum ini.
Kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham untuk TK2024 serta dividen khas sebanyak 1.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen keseluruhan untuk tahun itu sebanyak empat sen (TK2023: dua sen).
Mengenai prospeknya, Guan Chong berkata harga koko kekal tinggi terutamanya disebabkan oleh kekangan bekalan, berikutan keadaan cuaca yang buruk.
Syarikat pemproses bahan koko itu berkata ia dapat mengalihkan kos lebih tinggi bagi biji koko kepada pelanggan dan akan terus memberi tumpuan untuk mengekalkan dan meningkatkan margin produk.
"Kami sedang memantau keadaan pasaran dengan aktif dan memastikan bekalan biji koko yang stabil bagi menjamin operasi kilang tidak terjejas, serta menguruskan modal kerja dengan teliti untuk memastikan dana yang mencukupi bagi operasi perniagaan yang lancar dan cekap.
"Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras iaitu pemprosesan bahan koko sambil berkembang ke pasaran coklat industri dengan margin lebih tinggi dan mengoptimumkan pengeluaran mengikut keadaan pasaran," katanya.
Produk koko keluaran Guan Chong merangkumi jisim koko, mentega koko, kek koko dan serbuk koko. Ia juga menghasilkan produk coklat industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial