EKONOMI > BERITA

BLACK GROUP LABUR RM331.45 JUTA UNTUK BANGUNKAN FASILITI PERUBATAN DAN HOSPITALITI DI KUALA LUMPUR

28/02/2025 08:59 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Black Group Investment Holding yang berpangkalan di Singapura melabur SGD$100 juta dolar Singapura (RM331.45 juta) untuk membangunkan kemudahan perubatan dan hospitaliti tercanggih di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, operasinya disasarkan bermula pada September depan.

Ketua Pegawai Pelaburan Black Group Datuk Seri Alan Lee berkata kemudahan itu dinamakan "Meditel," ia akan mengintegrasikan perkhidmatan hospitaliti mewah dengan perkhidmatan perubatan khusus seperti rawatan anti-penuaan, perubatan regeneratif dan terapi sel.

"Ia bukan hospital tradisional yang biasa kita lihat tetapi menyediakan kemudahan mewah, memenuhi keperluan pelancong perubatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lee berkata bahawa projek itu melibatkan pemerolehan hartanah komersial pada mulanya dirancang sebagai apartment perkhidmatan mewah yang akan digunakan semula sebagai hotel perubatan.

“Pelaburan ini bukan sahaja mengenai komitmen kewangan, ia adalah sumbangan kepada pembangunan Malaysia, mewujudkan pekerjaan, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan hospitaliti.

“Kami percaya projek ini akan menetapkan penanda aras baharu bagi industri dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini,” katanya.

Ditanya mengapa kumpulan itu secara khusus memilih Malaysia, Lee berkata pasaran negara yang luas dan sumber mencukupi sebagai faktor utama dalam membuat keputusan pelaburan mereka.

“Ia adalah pulangan pelaburan (ROI) yang mudah, itulah sebabnya kami memilih Malaysia. Lebih-lebih lagi, kerajaan Malaysia sentiasa positif dan menyokong industri pelancongan, terutamanya pelancongan perubatan,” katanya.

Bulan lepas, Black Group mengambil alih Black Diamond Asset Management Sdn Bhd, sebuah firma Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pasaran hartanah tempatan sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya di Malaysia, memfokuskan kepada pembelian hartanah dan sektor bioteknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan