EKONOMI > BERITA

IPP MALAYSIA PADA FEBRUARI CECAH 49.7, TERTINGGI DALAM TEMPOH SEJAK OGOS 2024 - S&P GLOBAL

03/03/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Malaysia oleh S&P Global yang terlaras secara bermusim meningkat kepada 49.7 pada Februari 2025, bacaan tertinggi dalam tempoh sejak Ogos tahun lepas, menurut S&P Global.

Firma itu menjelaskan IPP terkini itu kekal konsisten dengan pertumbuhan sederhana yang ditunjukkan oleh data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2025, meneruskan trend yang dicatatkan pada suku ketiga dan keempat tahun lepas.

“Data itu juga menunjukkan pengembangan pengeluaran sektor pembuatan berterusan sehingga 2025, dengan pesanan baharu meningkat buat kali pertama dalam tempoh sejak Oktober tahun lepas berdasarkan tinjauan terkini,” menurut S&P Global dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut S&P Global peningkatan yang dicatatkan keseluruhan perniagaan baharu sebahagiannya didorong oleh pertumbuhan jualan domestik, manakala pesanan eksport baharu turun bagi bulan ketiga berturut-turut, terutama di rantau Asia-Pasifik.

Sementara itu, Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Usamah Bhatti berkata data pada Februari menunjukkan trend yang semakin baik dalam sektor pembuatan Malaysia, walaupun keadaan kekal mencabar secara amnya.

“Perkara paling memberangsangkan apabila kalangan syarikat berjaya memperoleh jumlah kerja baharu yang lebih tinggi buat kali pertama dalam tempoh empat bulan. Bagaimanapun, permintaan masih kekal suram sebahagian besarnya. Akibatnya, pengeluaran dan pekerjaan dikurangkan, walaupun hanya sedikit," katanya.

Usamah berkata inflasi kos kekal rendah berbanding prestasi purata sebelum ini dan hampir tidak berubah dari Januari, membolehkan syarikat menurunkan harga jualan bagi bulan kedua berturut-turut.

“Prospek untuk beberapa bulan akan datang adalah lebih cerah, memandangkan syarikat berharap peningkatan pesanan baharu ini akan berterusan dan pantas, akhirnya membawa kepada pemulihan pengeluaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan