KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- NationGate Holdings Bhd hari ini menafikan sebarang pembabitan dalam kes penipuan di Singapura yang berkaitan dengan dakwaan pergerakan cip Nvidia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya perkara itu melibatkan Rakan Kongsi Awan Nvidia (NCP) yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
“Kami kekal komited kepada ketelusan dan pematuhan terhadap semua peraturan yang berkaitan dan akan terus memantau situasi ini dengan teliti,” katanya.
Menjawab pertanyaan Bursa Malaysia mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA) membabitkan sahamnya semalam, NationGate berkata ia tidak mengetahui apa-apa penjelasan yang mungkin bagi aktiviti dagangan berkenaan.
Menurutnya tiada sebarang perkembangan korporat melibatkan syarikat atau anak syarikatnya yang belum diumumkan sebelum ini, termasuk yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menjelaskan mengenai pergerakan tersebut.
Semalam, Bursa Malaysia Securities Bhd mengemukakan pertanyaan UMA kepada NationGate berikutan penurunan mendadak harga saham syarikat itu.
Pada 5 petang semalam, saham berkenaan mencapai paras terendah apabila merosot 55 sen atau 29.73 peratus kepada RM1.30, dengan 48.85 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial