EKONOMI > BERITA

TARIF AS: STATUS MALAYSIA SEBAGAI ANGGOTA CPTPP, RCEP TIDAK BERUBAH - TENGKU ZAFRUL

06/03/2025 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Status Malaysia sebagai negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tidak berubah meskipun wujud ketidaktentuan daripada dasar tarif yang sedang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini kerana AS bukanlah negara anggota CPTPP mahupun RCEP.

“Sehingga kini, dasar-dasar ekonomi yang telah diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump masih belum memberi impak secara langsung ke atas ekonomi negara. 

“Namun, kerajaan akan terus memantau perkembangan dasar-dasar baharu AS serta merancang strategi bersesuaian bagi menangani sebarang implikasi terhadap ekonomi negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai sama ada penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala seperti CPTPP dan RCEP telah atau akan berubah akibat ketidaktentuan yang timbul daripada dasar tarif Presiden Trump. 

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan terus mempromosikan Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka dan destinasi pelaburan selamat dengan menekankan kestabilan politik, dasar properniagaan serta lokasi strategiknya di Asia Tenggara.

Sebagai sebuah negara dagang, katanya Malaysia akan terus berusaha mempelbagaikan pasaran eksport bagi barangan dan perkhidmatan tempatan.

Katanya Malaysia juga akan memulakan rundingan dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang dilihat bakal memberi manfaat besar dalam pelbagai sektor ekonomi dan dapat mengukuhkan penyertaan negara dalam rantaian bekalan global. 

“Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, kita bersama-sama negara anggota ASEAN sedang berunding untuk menaik taraf kawasan perdagangan bebas ASEAN-China menjadikan ASEAN-China 3.0 dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-India serta dalam proses rundingan perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Kanada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan