EKONOMI > BERITA

MALAYSIA CATAT REKOD JUALAN RM1.67 BILION PADA GULFOOD 2025

07/03/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Malaysia memperoleh jualan eksport RM1.67 bilion di Gulfood 2025, melepasi sasaran awal sebanyak RM680 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan makanan dan minuman menghasilkan potensi jualan RM1.45 bilion.

Sementara, jualan sebenar mencecah RM216.23 juta, mewakili 12.1 peratus peningkatan berbanding jualan RM1.49 bilion pada 2024.

“Kategori produk yang mendapat sambutan termasuk minyak sawit, perasa makanan, makanan diproses, minuman dan makanan tambahan kesihatan, sekali gus menekankan permintaan global yang meningkat bagi produk Malaysia yang diiktiraf halal dan berkualiti tinggi,” katanya. 

Pusat Perdagangan Dunia Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menganjurkan acara itu bermula 17-21 Feb dengan penyertaan 90 syarikat dari Malaysia di bawah MATRADE.

Ia turut disertai empat lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR).

MATRADE berkata Gulfood 2025 menarik lebih 5,500 pempamer daripada 129 negara dan mempamerkan lebih 1 juta produk.

“Pempamer Malaysia perlu memanfaatkan platform ini bukan sahaja bagi mengukuhkan hubungan perniagaan sedia ada tetapi juga meneroka peluang baharu yang lebih luas di UAE, rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

“Jenama Malaysia sudah dikenali terutamanya bagi produk diiktiraf halal, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor F&B halal,” kata perbadanan itu.

Selain itu, MATRADE berkata berdasarkan pemerhatian muncul aliran baharu di Gulfood 2025 iaitu peningkatan permintaan bagi makanan berasaskan tumbuhan dan fungsional.

Edisi ke-31 Gulfood dijangka diadakan pada 26-30 Jan, 2026 dan Malaysia merancang untuk mengukuhkan lagi penyertaannya dalam acara tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan