EKONOMI > BERITA

NGV ENERGY SASAR KEMBANGKAN LAGI PERNIAGAAN FOTOVOLTAIK SOLAR DALAM SEKTOR KOMERSIAL, INDUSTRI

14/03/2025 02:09 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- NGC Energy Sdn Bhd merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan sistem fotovoltaik (PV) solar dalam sektor komersial dan perindustrian tahun ini, berbanding daripada projek kediaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Julianna Kamaruddin berkata syarikat itu telah menyiapkan dua projek dalam sektor komersial dan perindustrian tahun lepas, terutamanya di Lembah Klang dan Pahang.

"Jadi untuk tahun ini, kami memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi sektor industri dan komersial kerana sistem ini lebih besar dan menawarkan peluang yang lebih banyak.

"Selain itu, ini membolehkan kami membantu perniagaan menguruskan kos keseluruhan mereka," katanya kepada Bernama di majlis berbuka puasa khas bersama anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik hari ini.

NGC Energy, yang diiktiraf sebagai pembekal gas petroleum cecair (LPG) kedua terbesar di Malaysia, melancarkan Program Sistem (PV) Solar pada Disember 2023, menjadikan syarikat itu sebagai peneraju dalam sektor tenaga boleh baharu (RE).

Selain menyokong usaha kerajaan untuk tenaga boleh baharu dan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), beliau berkata syarikat itu juga boleh membantu perniagaan memanfaatkan insentif yang ada untuk mengurangkan perbelanjaan operasi melalui pelaburan ke atas sistem berkenaan.

"Ini adalah pelaburan yang penting, dan kerajaan menyediakan insentif seperti pengecualian cukai modal untuk menyokong pemilik perniagaan dan pelabur. Ia merupakan inisiatif yang kukuh yang memberi manfaat kepada kedua-dua perniagaan dan matlamat tenaga boleh baharu negara," katanya.

Julianna berkata projek kediaman syarikat telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan menyiapkan 50 pemasangan tahun lepas. "Dengan memanfaatkan momentum ini, NGC Energy menyasarkan pertumbuhan yang stabil, dengan sasaran peningkatan 15 hingga 20 peratus dalam projek-projek kediaman tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai majlis berbuka puasa anjuran syarikat, beliau berkata NGC Energy telah membawa kegembiraan di bulan Ramadan kepada lebih 40 kanak-kanak dari tiga rumah perlindungan di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, syarikat berkenaan menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM9,000, dengan setiap rumah perlindungan menerima RM3,000 untuk menampung keperluan operasi harian mereka.

Selain itu, setiap kanak-kanak menerima "duit raya" sebanyak RM30 dan hadiah istimewa Ramadan sebagai tanda penghargaan dan galakan.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang berterusan, mencerminkan komitmen syarikat terhadap kebajikan komuniti dan kemampanan sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan