EKONOMI > BERITA

POS MALAYSIA BEKERJASAMA DENGAN JENAMA TEMPATAN BAGI KEMPEN SERBA-SERBI AIDILFITRI

16/03/2025 10:50 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

 

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd bekerjasama dengan pelbagai jenama terkenal tempatan bagi kempen Hari Raya tahun ini, Serba-Serbi Aidilfitri, untuk meningkatkan keterlihatan dan kesedaran jenama semasa musim perayaan.

Antara jenama yang menyertai kempen itu ialah SugarBomb, Nursafia, Nurraysa, Hijabistahub, Kak Zaidah Ibrahim dan Serelum Exclusive.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Charles Brewer berkata kerjasama itu mencerminkan sokongan padu syarikat tersebut terhadap perniagaan tempatan selain mengukuhkan komitmennya sebagai syarikat tempatan yang komited untuk mempromosikan dan menaikkan jenama Malaysia yang lain.

“Dengan menggunakan 65 skrin digital luar rumah (DOOH) yang diletakkan secara strategik di pasaran utama seluruh negara, kami menyasarkan untuk memaksimumkan keterlihatan (jenama),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Pos Malaysia turut menjalin kerjasama dengan pemain e-dagang yang membolehkan syarikat tersebut mengoptimumkan rangkaian logistiknya semasa musim puncak.

“Pemain e-dagang memberikan kami unjuran lebih awal, membolehkan kami memperuntukkan sumber dengan lebih cekap, mengurus kapasiti dan menyelaraskan operasi.

“Menerusi penyepaduan antara muka pengaturcaraan aplikasi langsung (API) dan perjanjian peringkat perkhidmatan (SLA) khusus, kami memastikan pesanan dipenuhi dan proses penghantaran akhir yang lebih lancar bagi meminimumkan kelewatan dan meningkatkan pengalaman pelanggan semasa Hari Raya ini,” katanya.

 Beliau berkata kebiasannya kuantiti penghantaran syarikat itu meningkat dua kali ganda pada musim perayaan seperti Hari Raya, berbanding hari biasa.

“Kami menggunakan gabungan digital dan sumber manusia untuk menampung lonjakan permintaan — ‘digital’ untuk meramalkan volum (kuantiti)  dan memetakan sumber dan kapasiti dengan sewajarnya, dan ‘manusia’ untuk mengendalikan peningkatan penghantaran.

“Kami amat berbangga dengan tahap perkhidmatan peneraju pasaran yang kami sediakan kepada rakyat Malaysia melalui rangkaian meluas kami dan akan terus memastikan kepuasan pelanggan sepanjang musim Raya ini,” ujarnya.

Brewer berkata walaupun semua negeri dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh semasa musim perayaan ini, jumlah yang lebih tinggi dijangka dilihat di kawasan berpenduduk padat seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Sementara itu, pertumbuhan peratusan tertinggi dijangkakan di Sabah dan Sarawak.

“Di sinilah Pos Malaysia benar-benar cemerlang — tiada syarikat penghantar lain yang mempunyai capaian yang kami lakukan. Kami berbangga dengan rangkaian penghantaran akhir kami yang tiada tandingan, yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 11 juta alamat dan mengendalikan lebih daripada 3,500 titik sentuh di seluruh negara.

“Rangkaian Pos Malaysia, bersama-sama wira Pos Malaysia kami yang berdedikasi, membolehkan kami menyediakan tahap perkhidmatan yang luar biasa di seluruh kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar,” katanya.

Di kawasan pedalaman terpencil di Malaysia, beliau berkata syarikat itu mempunyai penyelesaian yang unik — inisiatif Posmen Komuniti (PK) yang diperkenalkan pada 2010 melalui kerjasama antara Pos Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Inisiatif ini telah meningkatkan ketersambungan dengan ketara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dengan memperluas perkhidmatan penghantaran mel dan bungkusan.

“Kami kini mempunyai 520 Posmen Komuniti khusus dan 200 ejen yang berkhidmat di kawasan luar bandar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan