KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Malindo Airways Sdn Bhd (Batik Air) mengemas kini peraturan mengenai ‘power bank’ atau bank kuasa berkuat kuasa serta-merta, yang membolehkan penumpang untuk membawa maksimum sehingga dua yang perlu disimpan sendiri pada setiap masa dan tidak diletakkan dalam bagasi kabin.
Dalam kenyataan hari ini, katanya selain itu larangan untuk peranti itu disimpan dalam bagasi berdaftar adalah kekal melibatkan semua penerbangan Batik Air.
Menurut syarikat penerbangan itu polisi ini mematuhi peraturan barangan berbahaya oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang menetapkan bahawa bank kuasa yang dibawa dalam pesawat tidak boleh melebihi 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 miliampere-jam (mAh).
Sebagai reaksi kepada kebimbangan mengenai keselamatan terbaru mengenai bank kuasa, Batik Air telah memperkenalkan polisi yang dikemas kini untuk mengukuhkan langkah keselamatan dalam pesawat, katanya.
“Bagi menambah baik aspek keselamatan, penggunaan bank kuasa dalam kabin adalah dilarang. Penumpang turut dinasihatkan untuk berhati-hati apabila membawa bank kuasa auto-magnet kerana ia boleh menimbulkan risiko tambahan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan kelancarannnya, Batik Air akan memaparkan peringatan keselamatan di kaunter daftar masuk selain membuat pengumuman mengenainya semasa menaiki pesawat dan taklimat dalam penerbangan.
Menurut kenyataan itu kakitangan bahagian daftar masuk akan memeriksa bank kuasa sebelum menaiki pesawat untuk mengesahkannya berada dalam keadaan baik dan mematuhi had Wh.
“Batik Air terus komited untuk mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi dan pada masa sama memastikan pengalaman perjalanan yang lancar.
“Syarikat penerbangan ini juga menghargai kerjasama penumpang dalam mematuhi polisi yang dikemas kini, sejajar dengan amalan terbaik industri bagi meningkatkan langkah keselamatan dalam penerbangan,” katanya.
Layari batikair.com.my/experience/baggage untuk maklumat lanjut mengenai polisi bank kuasa yang terkini dan garis panduan bagasi Batik Air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial