EKONOMI > BERITA

RANCANG BUKA EMPAT LOKASI BAHARU TIKTOK SHOP LIVE HUB TAHUN INI

17/03/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dengan kerjasama TikTok, merancang membuka empat lokasi baharu TikTok Shop LIVE Hub pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata penambahan lokasi itu, akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan jualan mereka.

“Kami akan meningkatkan fasiliti bersesuaian dengan kehendak masa kini iaitu jualan secara dalam talian kepada usahawan PMKS yang mahu meningkatkan jualan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop LIVE Hub kedua di Menara Tekun di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abdul Ghani.

Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Aziz berkata melalui platform TikTok Shop, usahawan telah menjana RM2.3 juta hasil jualan dengan lebih daripada 50,000 produk terjual.

Beliau berkata TikTok Shop LIVE Hub pertama di Penampang, Sabah juga menyaksikan lebih 30 usahawan telah melaksanakan 76 jam penstriman langsung dan menjana lebih daripada RM63,000.

“Usahawan tempatan telah menjana 1,200 pesanan hasil daripada tontonan 1.2 juta melalui perstriman langsung sejak TikTok Shop LIVE Hub dibuka pada 3 Mac di Kuala Lumpur,” katanya.

Nur Azre berkata TikTok mahu membantu usahawan membina jenama dan komuniti melalui kandungan berkualiti tinggi, sekali gus membuka aliran pendapatan alternatif untuk rakyat Malaysia.

Pelancaran TikTok Shop LIVE Hub dijangka memberi impak positif kepada ekosistem perniagaan digital Malaysia, memacu pertumbuhan ekonomi lebih inklusif dan membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan