KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pengembangan Fasa 2 EVE Energy Co Ltd (EVE Energy) akan mencipta lebih 1,000 pekerjaan, menegaskan komitmennya terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan itu bertujuan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk penyelesaian sistem penyimpanan tenaga, memacu inovasi dan kemampanan dalam sektor ini.
"Eve Energy komited untuk menjalin pakatan yang mantap dengan pembekal Malaysia, memupuk rantaian bekalan tempatan yang mantap serta berteknologi. Dengan mengutamakan kerjasama dengan vendor tempatan, EVE Energy mahu mewujudkan ekosistem pembuatan bateri yang komprehensif di Malaysia.
"Kemasukan pembekal antarabangsa melalui pengembangan ini akan memberikan kepakaran mentor serta teknikal yang berharga, memperkasakan perusahaan Malaysia dan mendorong pertumbuhan dalam industri tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Eve Energy telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Invest Kedah untuk membangunkan kemudahan pembuatan Fasa 2, sebuah projek yang dijangka mengubah sektor penyimpanan tenaga Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan.
MOU tersebut dimemeterai pada 16 Mac antara Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Kedah, Noor Ikhsan Abdul Aziz dan Presiden EVE Energy, Liu Jian Hua.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan, inovasi teknologi dan pengembangan ekosistem kenderaan elektriknya (EV).
"Ketika kami mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan tenaga yang bersih serta terjamin, pelaburan strategik seperti ini memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam teknologi EV dan bateri.
"Dengan kepakaran dan komitmen Eve Energy, bersama dengan ekosistem perindustrian yang kukuh di Malaysia, kami bukan sekadar membangunkan kilang, kami sebenarnya membina peluang, memperkasakan bakat tempatan selain memantapkan kedudukan kami dalam rantaian bekalan tenaga bersih serantau," katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyambut inisiatif itu, dengan menjelaskan bahawa ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab untuk penyelesaian pembuatan tenaga termaju dan lestari, selaras dengan dasar-dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030, Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Pelaburan strategik dalam pengeluaran bateri canggih untuk sistem penyimpanan tenaga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keselamatan tenaga negara kita dan komitmen terhadap kemampanan alam sekitar dengan memajukan teknologi kenderaan dan generasi akan datang.
"Apa yang sama pentingnya ialah bagaimana ini mampu membantu memupuk rantaian bekalan tempatan yang lebih mantap termasuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, membuka jalan bagi Malaysia untuk menerajui ekonomi hijau Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas EVE Energy, Liu Jincheng berkata kemudahan Malaysia, langkah pertama syarikat dalam pengembangan globalnya, bertujuan untuk menetapkan penanda aras antarabangsa yang baharu.
Projek ini mampu mempercepatkan peralihan tenaga hijau melalui inovasi teknologi dan pembuatan termaju, memacu pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan tempatan.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan kerajaan Malaysia dengan mengatakan kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua pihak adalah penting bagi memajukan pembangunan berkualiti tinggi industri tenaga baharu Asia Tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial