EKONOMI > BERITA

EKUINAS MELABUR DALAM BLUESIFY BAGI PERKUKUH LANDSKAP KESELAMATAN SIBER MALAYSIA

17/03/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melabur dalam firma keselamatan siber Bluesify Solutions Sdn Bhd (Bluesify) bagi meningkatkan landskap keselamatan siber Malaysia dan menyokong pengembangan syarikat.

Ekuinas berkata pelaburan itu yang dibuat melalui dana Dana Asas I, bertujuan mengembangkan penyertaan Bumiputera dalam industri-industri utama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata pelaburan dalam Bluesify bertujuan mengukuhkan landskap keselamatan siber Malaysia dan membantu perniagaan mempertahankan diri daripada ancaman digital yang semakin meningkat.

"Dengan modal pertumbuhan kami, Bluesify bersedia untuk menyokong keperluan keselamatan siber negara dengan mengembangkan tawaran perkhidmatannya merangkumi keseluruhan kitaran hayat keselamatan siber dan memperkembangkan pusat pengesanan dan tindak balas terurus (MDR) mereka.

"Pada masa yang sama, syarikat menyasarkan untuk mengembangkan jejaknya di pasaran serantau, memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian keselamatan termaju di seluruh Asia Tenggara," katanya.

Syed Yasir berkata pengembangan Bluesify akan membolehkan Ekuinas memasuki pasaran keselamatan siber Asia Tenggara yang sedang meningkat, yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 9.5 peratus, daripada US$4.9 bilion (RM21.8 bilion) pada 2025 kepada US$7.1 bilion (RM31.3 bilion) pada 2029.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bluesify Izman Ibrahim berkata syarikat itu mengalu-alukan kerjasama dengan Ekuinas bagi mengembangkan pertumbuhannya sambil terus komited untuk menyediakan perkhidmatan keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dipacu oleh kepakaran, yang menawarkan perlindungan tahap tertinggi kepada pelanggan dalam landskap digital yang sentiasa berkembang.

Ekuinas juga berkata pelaburan itu tiba pada waktu yang penting berikutan penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber Malaysia 2024, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan keselamatan siber untuk memperoleh lesen dan mengenakan peraturan pematuhan yang lebih ketat terhadap perniagaan yang memiliki atau mengendalikan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

"Bluesify berada pada kedudukan yang baik untuk membantu perniagaan dalam mengemudi keperluan-keperluan baharu ini, melindungi sistem kritikal sambil memastikan pematuhan," katanya.

Ditubuhkan pada 2012 oleh Izman Ibrahim dan Faroze Mohd Salleh, Bluesify menyediakan perkhidmatan seperti pusat pengesanan dan tindak balas siber terurus yang dikendalikan 24/7, perisikan ancaman terurus, pemburuan ancaman, dan perkhidmatan tindak balas insiden siber, yang memenuhi keperluan pelanggan merentas sektor perkhidmatan kewangan, tenaga, penjagaan kesihatan, agensi kerajaan, dan badan berkanun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan