KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia meluluskan bantuan geran berjumlah RM2.96 juta kepada 48 perusahaan kecil milikan kaum India di bawah Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP), sehingga kini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata program yang sebelum ini hanya terbuka kepada perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000, kini dibuka kepada semua usahawan kecil tanpa had jualan minimum.
"Sebelum ini, kita menetapkan syarat jualan RM300,000 setahun untuk memohon. Berikutan permintaan yang tinggi, kita ubah suai syarat ini supaya semua usahawan kecil boleh memohon tidak kira RM300,000, RM200,000 atau RM100,000 setahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran I-BAP di sini hari ini.
Beliau berkata permohonan untuk program berkenaan akan dibuka semula secara dalam talian mulai 7 April 2025.
"Bagi mempercepatkan penyaluran geran, keutamaan akan diberikan kepada projek yang telah selesai dan pembayaran kepada pembekal dibuat mulai 1 Jun 2024," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata sebanyak 81 permohonan diterima pada tahun lepas dengan peruntukan sebanyak RM6 juta disediakan untuk program itu.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula tahun hadapan, SME Corp Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penskalaan perusahaan kecil dan sederhana untuk memperkukuh sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri wakil TEKUN Nasional dan SME Bank, yang memberikan taklimat mengenai peluang pembiayaan kepada PKS.
Usahawan boleh melayari laman sesawang rasmi www.smecorp.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai program berkenaan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial