EKONOMI > BERITA

PESARA PERLU PERUNTUK SEDIKIT SIMPANAN DALAM PELABURAN JANA HASIL PULANGAN TINGGI - SC

20/03/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Pesara harus mengalihkan sebahagian kecil daripada simpanan mereka ke dalam instrument pasaran modal yang boleh memberi hasil lebih tinggi untuk meningkatkan kecukupan persaraan mereka dan bukan sebaliknya memegang tunai di tangan.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata pesara boleh menyalurkan semula sebahagian kecil daripada aset cair atau simpanan dalam bank atau simpanan tetap mereka ke dalam amanah saham atau skim persaraan swasta (PRS).

“Isi rumah mempunyai simpanan yang mencukupi yang boleh disalurkan ke pasaran modal,” kata SC dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Pada 2024, peratusan populasi Malaysia yang melepasi umur 65 tahun meningkat kepada 7.7 peratus, dengan unjuran terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia akan beralih kepada “negara tua” menjelang 2040, dengan 17.3 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun atau lebih tua.

Menjelang 2050, 16.8 peratus rakyat Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas.

“Walaupun ramai rakyat Malaysia bijak mengurus wang seperti merancang bajet dan membayar bil tepat pada masanya, pengetahuan berkaitan kewangan dalam beberapa aspek lain masih terhad,” kata suruhanjaya itu.

Menurut satu tinjauan literasi kewangan pada 2023, lebih separuh daripada responden tidak arif dengan nilai masa wang, 44 peratus tidak mempunyai matlamat kewangan jangka panjang dan hampir 50 peratus tidak memahami konsep kepelbagaian risiko.

SC berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini mengesyorkan ahli menyasarkan sekurang-kurangnya RM390,000, iaitu penanda aras simpanan asas baharu yang lebih sesuai untuk mencerminkan peningkatan kos sara hidup dan keperluan persaraan.

Menurut KWSP, walaupun RM390,00 merupakan penanda aras simpanan asas, aras simpanan mencukupi adalah sebanyak RM650,000 yang dijangka menyokong pengeluaran bulanan dalam tempoh 20 tahun.

Dengan mengandaikan pulangan tahunan 4.0 peratus ke atas baki, pesara boleh mula mengeluarkan RM2,708 pada bulan pertama dan seterusnya mencecah RM7,389 sebulan menjelang tahun ke-20.

Lebih daripada ini ialah simpanan dipertingkat berjumlah RM1.3 juta, million, yang merupakan dua kali ganda jumlah simpanan mencukupi, membolehkan pesara bermula dengan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 pada tahun pertama, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun ke-20.

SC berkata, menangani literasi kewangan yang rendah adalah kunci untuk menjamin masa depan yang stabil, terutamanya bagi mereka yang hampir bersara dan menegaskan persaraan remisier atau  bersaranya broker berpengalaman serta peningkatan penasihat robo boleh membawa kepada nasihat yang kurang diperibadikan untuk pelabur runcit.

Menurutnya, dalam menghuraikan sebahagian daripada simpanan runcit boleh disalurkan ke pasaran modal pada masa ini, RM866 bilion atau hampir satu pertiga daripada jumlah aset kewangan RM3.2 trilion isi rumah Malaysia (tidak termasuk KWSP), disimpan dalam deposit bank.

SC berkata nisbah pelaburan unit amanah kepada deposit telah merosot dengan pertumbuhan deposit mengatasi pertumbuhan unit amanah menunjukkan trend ke arah keutamaan untuk memegang lebih banyak tunai daripada melabur.

Deposit individu termasuk RM569 bilion dalam simpanan tetap bank dan RM317 bilion dalam simpanan bank atau akaun semasa.

Walaupun PRS, alternatif sukarela kepada caruman wajib KWSP sedang berkembang, aset bersih di bawah pengurusan PRS kekal kecil pada RM6.5 bilion berbanding RM867 bilion dalam jumlah caruman aktif KWSP, menunjukkan potensi yang besar untuk instrumen lain.

Perkara ini menggambarkan potensi yang belum diteroka untuk PRS dan instrumen pasaran lain sebagai pelengkap dan pilihan suka rela untuk perancangan persaraan, kata SC.

Populasi Malaysia yang menua memberikan cabaran besar kepada individu dan ekonomi, khususnya mengenai ketidakcukupan persaraan dan penumpuan simpanan isi rumah dalam deposit bank berbanding pelaburan dalam pasaran modal.

Simpanan persaraan yang rendah dan kos penjagaan kesihatan yang melambung tinggi mengancam jaminan kewangan pesara, manakala peningkatan ekonomi gig merumitkan akses kepada manfaat penting.

Memperluaskan rangkaian pilihan pelaburan untuk simpanan isi rumah, termasuk saluran pasaran modal di samping meningkatkan literasi kewangan boleh membantu meningkatkan kesediaan persaraan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Dengan mengalihkan aset cair ke arah pelaburan yang menghasilkan kadar pulangan lebih tinggi dan mendidik individu tentang perancangan kewangan, kesediaan untuk persaraan boleh dipertingkatkan.

Ketika pasaran modal menyesuaikan dengan perubahan demografi, ia juga mesti mengiktiraf perubahan dalam kelakuan dan keutamaan pelabur.

SC berkata dengan langkah proaktif, produk kewangan yang inovatif dan dasar bersasar, Malaysia boleh memperkukuh jaminan kewangan rakyatnya yang menua sambil memastikan kemampanan pasaran modalnya.

Menurutnya, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat semula dan menangani cabaran ini secara holistik dan bekerjasama untuk mewujudkan landskap kewangan yang lebih berdaya tahan.

SC berkata dengan melakukannya bukan sahaja akan menyokong warga tua tetapi juga boleh meningkatkan kestabilan ekonomi dengan mengurangkan pergantungan masa depan kepada sistem kebajikan sosial yang dibiayai oleh kerajaan.

Daya tahan kewangan yang dipertingkatkan memberi manfaat kepada individu dan ekonomi yang lebih luas dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, kata SC.

 – BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan