EKONOMI > BERITA

SC: PERDAGANGAN KRIPTO DORONG PERTUMBUHAN ASET DIGITAL DI MALAYSIA

20/03/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Peningkatan ekosistem aset digital di Malaysia mencerminkan semakin tinggi tahap kesedaran pelabur tempatan terhadap kelas aset baharu, khususnya aktiviti perdagangan aset kripto, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata pertumbuhan ini turut didorong oleh kehadiran pemain yang dikawal selia dalam pasaran, sejajar dengan agenda digitalnya bagi mewujudkan pendemokrasian pasaran modal yang lebih pelbagai.

“Di Malaysia, terdapat peningkatan semula aktiviti perdagangan aset kripto dalam ruangan pengendali pasaran yang diiktiraf – pertukaran aset digital (RMO-DAX), perkembangan pemain dalam ekosistem, peningkatan produk berkaitan aset digital seperti dana aset digital dan pengumpulan dana token (IEO) melalui pertukaran permulaan serta minat yang semakin meningkat terhadap penggunaan teknologi blockchain dan tokenisasi dalam pasaran modal,” menurut laporan itu.

SC berkata purata volum dagangan harian RMO-DAX meningkat sebanyak 2.6 kali pada 2024 berbanding tahun sebelumnya (2023).

Sementara itu, SC turut berkata bahawa pada tahun lepas, pengendali IEO menerbitkan token pertama mereka bagi tujuan pengumpulan dana, termasuk nota pelaburan Syariah yang ditokenkan termasuk dua token utiliti dengan jumlah dana yang diperoleh mencecah RM48 juta.

Selain itu, SC berkata teknologi blockchain menjanjikan pelbagai ciri seperti kebolehprograman, ketulusan, kebolehaksesan, seterusnya memacu minat global terhadap tokenisasi sekuriti pendasar.

Bagi menyokong masa depan pasaran modal Malaysia, SC bekerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd untuk meneroka terbitan bon atau sukuk yang ditokenkan.

Ini membolehkan kedua-dua pihak menyelidiki fungsi serta kegunaan tokenisasi, bermula dengan penggunaan kontrak pintar hingga pengaturan penjagaan, seterusnya memperdalam pemahaman tentang manfaat dan risiko yang terlibat dengan teknologi blockchain.  

Mengenai pengurusan pelaburan digital (DMI), suruhanjaya itu berkata setakat Disember 2024, DIM berkembang lebih 500 kali ganda sejak Disember 2018, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM1.9 bilion.

Sementara itu, bagi platform e-perkhidmatan (e-SP), SC berkata setakat Disember 2024, nilai kumulatif langganan produk pasaran modal yang diedarkan pada e-SP telah melebihi RM53 juta, iaitu peningkatan lebih dua kali ganda nilai yang dicatatkan pada Disember 2023.

“Terutamanya, pada 2024 sahaja, langganan kira-kira RM33 juta, menyumbang 61 peratus daripada jumlah langganan keseluruhan, telah direkodkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan