EKONOMI > BERITA

KEPENGERUSIAN SC BAGI FORUM ACMF TUMPU USAHA PERKASA DAYA TAHAN PASARAN MODAL ASEAN

20/03/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) yang dipengerusikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun ini akan membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama serantau dan membina pasaran modal ASEAN yang lebih terhubung serta berdaya tahan.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, SC mengambil alih jawatan Pengerusi Forum ACMF, sebuah kumpulan serantau yang menghimpunkan pengawal selia pasaran sekuriti dan modal.

Beliau berkata selaras dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan ASEAN 2025, agenda ACMF tahun ini merangkumi penerbitan Taksonomi ASEAN Versi 4 (melalui penyertaan ACMF dalam Lembaga Taksonomi ASEAN) serta usaha mendapatkan pengesahan serantau bagi Panduan Kewangan Peralihan ASEAN Versi 2.

"Di samping itu, kita akan berusaha membangunkan taksonomi bagi Mitigasi, Adaptasi, Ketahanan, dan Kewangan Mampan (MARS)," katanya menerusi perutusan pengerusi dalam Laporan Tahunan SC 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, pada tahun ini ACMF juga akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan Pelan Tindakan ACMF lima tahun bagi 2026-2030.

Dalam pada itu, katanya, pada tahun ini SC akan memulakan proses membentuk pandangan dan cerapan jangka panjang, termasuk visi dan objektif dalam menggubal Pelan Induk Pasaran Modal 4 (CMP4) yang akan menggantikan CMP3 (2021- 2025).

Mohammad Faiz berkata objektif asas CMP4 adalah untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan tatkala menghadapi perubahan ekonomi, sosial dan teknologi.

Selain itu, katanya, Malaysia akan menjalani dua penilaian utama pada tahun ini merangkumi Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), yang dijalankan setiap tujuh hingga 10 tahun, serta Pengawasan Tadbir Urus Korporat (CG) dwitahunan bagi rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata penilaian FATF Malaysia penting bagi reputasi global dan daya tarikan pelaburan negara kerana laporan yang kurang menggalakkan bukan sahaja boleh mengurangkan malah penghentian transaksi institusi kewangan global dengan pengantara kewangan tempatan.

Katanya perkara itu juga sama pentingnya untuk mengekalkan atau meningkatkan kedudukan negara sebelum ini dalam CG Watch 2025, khususnya dalam kategori Juruaudit dan Pengawal Selia Audit, Peraturan CG, dan Syarikat Tersenarai.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan