KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd kembali mencatatkan keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM30.28 juta pada suku kedua yang berakhir 28 Feb, 2025, berbanding kerugian bersih RM51.20 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan untuk tempoh suku yang dikaji meningkat kepada RM883.65 juta daripada RM550.33 juta sebelumnya yang dipacu oleh prestasi kumpulan yang lebih baik berikutan peningkatan berterusan dalam tempahan sarung tangan susulan pemulihan permintaan global.
“Peralihan perdagangan akibat daripada tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport sarung tangan China juga memacu pertumbuhan berterusan dalam hasil jualan apabila jumlah jualan meningkat sebanyak 58 peratus berbanding suku yang sama pada fiskal 2024,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Top Glove berkata peningkatan kualiti yang berterusan bersama-sama dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi daripada tempahan yang meningkat menghasilkan pengeluaran dan kecekapan kos yang lebih baik seterusnya menyumbang kepada peningkatan keuntungan.
Sementara itu, syarikat tersebut berjaya mengeluarkan Sukuk Wakalah Senior lima tahun dengan nilai nominal RM800 juta pada 20 Feb, 2025.
Top Glove berkata hasil sebanyak RM800 juta yang diperoleh bersama-sama dengan RM380 juta daripada wang tunai kumpulan digunakan untuk menebus sukuk kekal tertunggak berjumlah RM1.18 bilion pada tarikh panggilan pertamanya pada 27 Feb, 2025.
"Terbitan Sukuk Wakalah Senior dan penebusan sukuk kekal ini akan mengurangkan kos pembiayaan keseluruhan sementara nisbah tahap kadar hutang bersih kumpulan berada pada tahap yang baik iaitu 0.13 kali," kata Top Glove.
Mengenai prospek, Top Glove kekal yakin berikutan keadaan pasaran yang semakin baik terus memacu pertumbuhan permintaan yang berterusan.
Seiring dengan itu, peningkatan dalam nilai perolehan kontrak dijangka berterusan yang dipacu oleh aliran masuk tempahan yang kukuh.
Kumpulan itu juga kekal berwaspada dalam menangani tekanan persaingan terutamanya dalam pasaran bukan AS seperti Eropah apabila strategi penetapan harga sarung tangan nitril yang agresif oleh pengeluar dari China mungkin menimbulkan cabaran.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata keputusan kukuh ini mencerminkan kejayaan inisiatif kumpulan dalam penambahbaikan kualiti dan kecekapan kos yang sedang dijalankan.
Beliau berkata ini mengukuhkan daya saing selain meletakkan kumpulan dalam kedudukan untuk memperoleh manfaat daripada pemulihan permintaan sarung tangan serta peralihan perdagangan dalam pasaran.
"Kami gembira untuk terus menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan keuntungan yang diperkukuhkan. Ini merupakan bukti komitmen dan usaha gigih pasukan kami yang memainkan peranan penting dalam memulihkan perniagaan ini.
"Kami akan terus membina momentum ini sambil memacu pertumbuhan mampan untuk masa depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial