EKONOMI > BERITA

DANA MYCIF MENERUSI ECF, P2P MELONJAK KEPADA RM2.5 BILION BAGI 2024

20/03/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pengumpulan dana oleh Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) menerusi platform pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), melonjak kepada RM2.5 bilion pada 2024 berbanding RM2.2 bilion pada tahun sebelumnya.

 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata dengan peruntukan RM260 juta daripada kerajaan sejak penubuhannya, MyCIF Berjaya melakukan pelaburan bersama bernilai RM1.19 bilion dalam lebih 9,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain mencapai kesan berganda luar biasa sebanyak 4.1 kali ganda.

 “Ini telah menarik sejumlah RM4.92 bilion dalam pelaburan swasta yang menjadikan keseluruhan dana diperoleh dengan sokongan MyCIF sebanyak RM6.11 bilion.

 “Sejak penubuhannya (pada 2019), MyCIF telah melabur kira-kira RM126 juta dalam 308 kempen ECF dan RM1.06 bilion dalam 69,977 kempen P2P,” kata suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, kata SC, musim pandemik telah mencetuskan cabaran luar biasa kepada PMKS yang kebanyakannya bergelut untuk terus bertahan.

Bagi menangani keperluan mendesak ini, MyCIF telah mengambil langkah menyediakan bantuan sementara dengan menyelaras nisbah pelaburan bersama daripada 1:4 kepada 1:2, sekali gus menggandakan saiz pelaburan bersama.

“Melalui nisbah pelaburan bersama yang diutamakan, MyCIF telah mengarahkan pelaburan dalam bidang keutamaan negara seperti segmen keterjaminan makanan, alam sekitar dan impak sosial,” katanya.

SC berkata di bawah Belanjawan 2024, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM100 juta kepada MyCIF bagi tempoh tiga tahun untuk pelaburan impak dalam bidang tumpuan iaitu keterjaminan makanan, alam sekitar, komuniti, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Peruntukan strategik ini merupakan sebahagian daripada skim MyCIF baharu atau Skim Impak Alam Sekitar dan Sosial (ESI) bagi menggantikan skim Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terdahulu yang dilancarkan pada 2023 dengan julat bidang tumpuan lebih meluas.

Selepas pelancaran Skim ESI berkenaan, sebanyak tiga kempen telah berjaya mengumpul dana melalui platform ECF dengan MyCIF melabur bersama sebanyak RM1.2 juta.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan