EKONOMI > BERITA

YIN’S SOURDOUGH, BAKERI ADUNAN KASIH ANAK DAN SEMANGAT CEKAL

12/05/2025 09:58 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pengalaman beralih daripada kerjaya menjaminkan dalam bidang jualan farmaseutikal selama sedekad kepada menguli doh di kedai kecil di Balik Pulau, Pulau Pinang, menjadikan perjalanan pengasas Yin’s Sourdough Bakery & Cafe sebagai bukti transformasi, matlamat serta kecekalan.

Dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan pendidikan di Ipoh, Perak, pengusaha bakeri Chan Su Yin, 48, tidak pernah menyangka beliau akan menerajui satu jenama bakeri dengan rangkaian cawangan di serata Selangor dan Lembah Klang.

Roti sourdough itu dihasilkan daripada proses fermentasi atau penapaian, terus mendapat sambutan berikutan kandungan prebiotik dan probiotik yang baik untuk kesihatan.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama baru-baru ini, Chan berkata bapanya adalah guru sekolah menengah manakala ibunya mengendalikan kelas tuisyen persendirian di rumah.

Tidak seperti tanggapan ramai, pendedahan awal beliau dalam dunia bakeri bukannya secara formal di pusat khusus, sebaliknya di ruang dapurnya sendiri.

“Sewaktu kecil, ibu sering menyediakan sendiri pau dan kek, malah saya akan membantu dengan membuat kaya...duduk di bangku tinggi untuk mengacau kaya sehingga berjam-jam lamanya,” katanya.

Sejurus tamat tingkatan enam, Chan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda biokimia di Universiti Malaya dan seterusnya menceburi industri farmaseutikal dan bekerja dalam syarikat yang membekalkan produk perubatan penting, termasuk vaksin COVID-19.

“Selepas waktu kerja, saya akan membakar roti pada waktu malam bagi melepaskan tekanan kerja dan pada masa sama menyediakan roti yang sihat untuk anak-anak," katanya.

Sewaktu dua tahun berada di Portland, Amerika Syarikat bagi menemani suaminya dalam tugasan kejuruteraan, minatnya dalam penyediaan roti kembali ketara.

"Apabila membeli roti sourdough di Portland, saya kagum dengan rasa dan teksturnya. Saya mula membuatnya setiap hari selain mengunjungi pelbagai kedai roti demi mempelajari proses pembuatannya.

“Saya juga mula bereksperimen dengan melakukan sendiri proses penapaian sourdough di rumah dengan menguji pelbagai jenis tepung dan teknik. Di Portland juga saya mendapat tahu mengenai kajian saintifik bahawa sourdough boleh membantu menstabilkan tahap gula dalam darah," katanya.

Sekembalinya dari Portland, Chan mula memanfaatkan ilmu yang dipelajari demi membantu ibu yang menghidapi diabetes.

“Ibu sedaya upaya mengawal paras gula walaupun telah mengubah gaya hidup di samping rawatan lazim. Setelah saya mengajar ibu untuk membuat sourdough, ibu mula kerap membakarnya,” katanya.

Sesuatu yang mengejutkan, selepas setahun ibu menikmati roti sourdough, bacaan gula ibu menjadi stabil -- membuatkan doktor juga terkejut.

Pengalaman itu menjadi pencetus untuk Chan mendalami dunia roti dengan lebih serius.

“Berbekalkan sedikit duit simpanan, kami membuka sebuah kedai roti kecil di Balik Pulau pada 2013. Pada awalnya, ramai yang tidak biasa dengan rasa masam sourdough. Ada satu ketika, seorang lelaki berusia memulangkan roti itu kepada kami, kerana menyangkanya telah rosak,” katanya sambil tersenyum.

Memupuk pengetahuan orang ramai mengenai sourdough sebenarnya menjadi satu perjuangan yang sukar.

“Kami perlu menjelaskan sebab mengapa roti ini tidak selembut roti komersial -- roti sourdough tidak mengandungi bahan pengawet atau pelembut dan sememangnya roti itu dibuat sedemikian,” katanya.

Dari masa ke masa dan menerusi bualan ramai, Yin’s Sourdough Bakery & Cafe mula meraih pelanggan yang setia.

Chan dan pasukannya juga menekankan kualiti, menggunakan teknik tradisional dan bahan yang baik untuk kesihatan bagi membezakan roti mereka daripada yang lain.

Sokongan menerusi inisiatif kerajaan telah berperanan penting dalam perjalanan mereka melorek pertumbuhan.

Pada 2020, Yin’s Sourdough memperoleh geran padanan di bawah Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) menerusi kempen pendanaan ramai yang dianjurkan oleh platform ekuiti, Pitch Platforms Sdn Bhd (PitchIN).

“Pasukan PitchIN membimbing kami untuk melalui proses itu, jadi bantuan itu lebih memudahkan kami. ​​Dalam masa setahun, kami berjaya mengakhirinya, betul-betul sebelum pandemik melanda,” katanya.

MyCIF yang ditubuhkan di bawah Belanjawan 2019, telah dirancakkan lagi dengan geran padanan RM40 juta menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun negara dilanda COVID-19, Chan berkata perniagaan beliau masih mampu bertahan dan berjaya menghasilkan pulangan sebanyak 30 peratus kepada pemegang saham awal berikutan pembabitan sebuah firma ekuiti swasta dalam pusingan pengumpulan dana seterusnya.

Menurutnya pada masa ini perniagaan bakeri berkenaan berkembang maju, bukan sekadar usaha sama komersial -- ia kini menjadi satu platform untuk mobiliti sosial.

Beliau turut mengambil khidmat penduduk luar bandar sebagai pekerja, termasuk yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pembuatan roti.

“Seorang daripada ketua pembuat roti kami di Kuala Lumpur misalnya adalah anak muda dari Sabah yang memulakan kerjaya tanpa sebarang kemahiran selepas tamat tingkatan lima. Hari ini, beliau mengetuai pasukan sourdough kami, ” katanya dengan bangga.

Yin’s Sourdough turut bekerjasama dengan Kolej Komuniti Bayan Baru, Pulau Pinang, dengan menawarkan tempat latihan amali kepada pelajar yang mengambil jurusan pensijilan pastri.

"Inilah caranya kami berkongsi penghargaan dan mengembangkan bakat tempatan," katanya.

Jenama itu kini beroperasi di 10 lokasi -- masing-masing enam di Pulau Pinang dan empat di Kuala Lumpur selain rancangan membuka lima lagi cawangan pada 2025, terutamanya di Lembah Klang.

Pada masa hadapan, Yin’s Sourdough akan berpindah ke pusat penyediaan makanan baharu dalam menyokong usaha pengembangannya.

Kumpulan ini juga dalam proses untuk memohon pensijilan halal dan MeSTI bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

Meskipun mendapat permintaan dari Singapura dan Indonesia, Chan lebih cenderung kepada kaedah pertumbuhan yang perlahan dan stabil.

“Kami tidak mahu berkembang maju terlalu cepat sehingga menjejaskan kualiti,” katanya.

Apa yang lebih penting, terdapat perihal kecil namun bermakna yang turut mendorongnya untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan itu.

“Apabila seorang ibu bertanyakan roti tanpa garam untuk anaknya yang menghidap kanser tiroid, atau ketika ada yang memberitahu roti kami menyebabkan keadaan kesihatan mereka lebih baik...inilah antara perkara yang memberi galakan kepada kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan