EKONOMI > BERITA

PEMEGANG SAHAM PHARMANIAGA LULUS PELAN REGULARISASI UNTUK KELUAR DARI STATUS PN17

20/03/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Pharmaniaga Bhd meneruskan pelan regularisasi kumpulan supaya keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) selepas pemegang saham meluluskan tiga resolusi utama pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

Tiga resolusi tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan selain menyokong pengembangan perniagaan iaitu terbitan hak untuk mengumpul hasil kasar sehingga RM353.5 juta; penempatan persendirian sehingga RM300 juta dengan minimum RM215 juta dan pengurangan modal melalui pembatalan RM520 juta dalam modal saham terbitan.

"Pemegang saham terbesar Pharmaniaga, Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, masing-masing memegang 47.1 peratus dan 7.8 peratus berjanji untuk melanggan kelayakan mereka di bawah terbitan hak," katanya dalam satu kenyataan.

Pharmaniaga berkata 51.3 peratus daripada hasil akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman yang dijangka memberikan penjimatan faedah sebanyak RM16.8 juta setahun manakala 34 peratus akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan termasuk pembelian empat gudang baharu di Malaysia.

Dana itu juga diperuntukkan untuk pembangunan insulin manusia, vaksin dan ubat generik lain.

Pengarah Urusannya, Zulkifli Jafar berkata kelulusan daripada pemegang saham ini menandakan langkah penting dalam menyelesaikan status PN17 kumpulan dan mengembalikan kestabilan kewangan.

"Kami menjalankan perbincangan aktif dengan pemegang kepentingan mengenai pelan regularisasi ini dan kami percaya terbitan hak dan saham penempatan menarik minat yang tinggi," katanya.

Beliau berkata inisiatif biofarmaseutikal mereka khususnya dalam pengeluaran insulin manusia dan vaksin, juga menerima maklum balas yang positif.

Zulkifli mendedahkan mengenai kilang pengeluaran insulin manusia Pharmaniaga yang dilancarkan pada September tahun lepas dan ia dijangka memulakan pengeluaran komersial pada suku keempat 2025.

Beliau menekankan konsesi logistik dan pengedaran kumpulan dengan Kementerian Kesihatan serta pertumbuhan yang mantap di Indonesia yang meletakkan Pharmaniaga di laluan kukuh iaitu menuju pemulihan kewangan.

Sejak diisytiharkan sebagai syarikat PN17 pada Februari 2023, Pharmaniaga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos.

Kumpulan melaporkan keuntungan selepas zakat dan cukai sebanyak RM133.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, satu pemulihan ketara daripada kerugian selepas zakat dan cukai sebanyak RM78.7 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan