EKONOMI > BERITA

CYBERVIEW PERKUKUH KEDUDUKAN CCC DENGAN PEMILIKAN PENUH DALAM CSBD

22/03/2025 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd memperkukuh kedudukannya dalam pembangunan Cyberjaya City Centre (CCC) dengan mengambil alih 100 peratus pegangan dalam CSB Development Sdn Bhd (CSBD), selepas pengambilalihan saham daripada MRCB Land.

Cyberview dalam kenyataan hari ini berkata CSBD kini menguasai kawasan tanah terbesar dalam pembangunan CCC dan membuka potensi yang lebih besar untuk perancangan jangka panjang, penggunaan tanah secara strategik serta penciptaan nilai.

“Kedudukan utama ini bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar selain akses kepada infrastruktur yang kukuh, mengukuhkan daya tarikan CCC sebagai pembangunan yang bersedia untuk masa depan,” kata Cyberview, pemaju utama Cyberjaya.

CSBD kini memegang 27 hektar tanah pegangan bebas yang terletak secara strategik dalam Pembangunan Berorientasikan Transit di CCC.

Cyberview juga berkata pendekatan terperinci projek ini direka bagi penyesuaian dan tahan lasak dengan mengintegrasikan infrastruktur digital, perancangan bandar lestari dan inovasi terkini.

Syarikat itu berkata kerja-kerja fizikal bagi projek CCC boleh bermula seawal tahun depan dengan pembangunan sementara dirancang untuk mengaktifkan kawasan sekitar Stesen Cyberjaya City Centre bagi Transit Aliran Massa (MRT).

Inisiatif awal ini juga disasarkan untuk meningkatkan keceriaan kawasan tersebut serta menarik minat daripada pelabur dan perniagaan yang berpotensi, kata Cyberview.

"Dengan penekanan yang kukuh terhadap kelestarian dan kemajuan teknologi, Cyberview menyasarkan untuk menjadikan CCC sebagai hab berimpak tinggi untuk perniagaan, syarikat multinasional dan industri berasaskan teknologi.

"Inisiatif ini bukan sahaja akan mempercepatkan perubahan Cyberjaya supaya menjadi ekosistem teknologi dan inovasi bertaraf dunia, tetapi ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi digital global," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan