KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan 21 dokumen tawaran melibatkan jumlah nilai tawaran sebanyak RM18.22 bilion di bawah pengambilalihan dan penggabungan pada 2024 berbanding 10 tawaran bernilai RM5.53 bilion pada tahun sebelumnya.
SC menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata jumah tersebut mewakili peningkatan sebanyak RM12.69 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat secara kolektif untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (Tawaran MAHB) merupakan tawaran terbesar pada nilai tawaran RM12.30 bilion oleh penawar bersama, mewakili 68 peratus daripada jumlah nilai tawaran pada 2024,” menurut laporan itu.
Penawar Bersama berkenaan terdiri daripada Gateway Development Alliance Sdn Bhd, Pantai Panorama Sdn Bhd, Kwasa Aktif Sdn Bhd dan GIP Aurea Pte Ltd dan UEM Group Bhd dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (secara kolektif, Penawaran Utama Bersama).
Laporan itu turut memaklumkan dua lagi tawaran ketara dari segi nilai tawaran termasuk tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat oleh Public Bank Bhd untuk semua baki saham biasa dalam LPI Capital Bhd pada RM2.18 bilion (Tawaran LPI) serta pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik oleh MPHB Capital Bhd pada RM750,000 juta.
Menurut badan kawal selia itu, daripada 21 tawaran pada 2024, 18 berkaitan dengan syarikat penerima tawaran yang tersenarai di Pasaran Utama, satu berkaitan dengan syarikat penerima tawaran yang tersenarai di Pasaran ACE (Carlo Rino Group Bhd), dan dua lagi berkaitan dengan syarikat awam tidak tersenarai (Central Cables Bhd dan KLK Sawit Nusantara Bhd).
Melihat dari segi sektor, sektor pengangkutan dan logistik diikuti oleh sektor perkhidmatan kewangan mencatat nilai tawaran tertinggi, masing-masing berjumlah RM12.30 bilion (meliputi Tawaran MAHB) dan RM2.18 bilion (meliputi Tawaran LPI), mewakili 68 peratus dan 12 peratus daripada jumlah nilai tawaran pada 2024.
Menurut SC ia mempertimbangkan sejumlah 97 permohonan di bawah peraturan ini pada tahun lepas berbanding 62 permohonan pada 2023.
“Peningkatan Ini disebabkan terutamanya oleh bilangan tawaran/skim pengambilalihan yang lebih tinggi serta kelulusan pekeliling nasihat bebas yang dilaksanakan pada tahun tersebut yang mencerminkan peningkatan minat untuk aktiviti pengambilalihan dan penggabungan pada tahun berkenaan,” katanya.
Sementara itu, SC turut meluluskan 29 Kelulusan pekeliling nasihat bebas pada 2024, dengan 22 daripadanya berkaitan tawaran/skim pengambilalihan manakala tujuh lagi berkaitan pengecualian daripada obligasi tawaran mandatori menurut prosedur whitewash (2023: 13 IAC).
Selain itu, tujuh pekeliling whitewash turut diluluskan bagi pengecualian daripada kewajipan tawaran mandatori (2023: 4 pekeliling whitewash).
Bagi permohonan pengecualian daripada keperluan melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori, SC telah mempertimbangkan 22 permohonan pada 2024 (2023: 19 permohonan), yang mana 10 permohonan melibatkan pengecualian whitewash, manakala 12 permohonan melibatkan pemerolehan atau pemindahan saham dalam kalangan ahli kumpulan orang yang bertindak secara bersama.
SC juga mempertimbangkan 18 permohonan menurut keperluan tertentu di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Peraturan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial