EKONOMI > BERITA

HARGA EMAS MELONJAK: ADAKAH HARGANYA MENCECAH US$5,000 MENJELANG AKHIR TAHUN?

23/03/2025 12:28 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Harga emas melonjak! Logam berharga itu terus mengatasi jangkaan, berulang kali mencatatkan paras tertinggi baharu berikutan pelabur mencari perlindungan daripada ketidaktentuan ekonomi global.

Pada 30 Okt 2024, harga emas melonjak kepada paras tertinggi sebanyak US$2,787.61 setiap auns troy sebelum ditutup pada US$2,693.23 setiap auns troy pada Januari 2025 (US$1=RM4.42).

Kini, harga emas telah melepasi US$3,000 setiap auns troy mencecah US$3,036.74 setiap auns troy setakat 20 Mac 2025, menurut goldprice.org data. Persoalan yang timbul ialah: Sejauh mana harga emas akan naik?

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid merujuk kepada satu faktor utama -- situasi tidak menentu.

“Apabila kebimbangan melanda ekonomi global, emas mendapat permintaan tinggi. Nilainya bukan sahaja meningkat tetapi juga menjadi lindung nilai terhadap inflasi, penyusutan mata wang dan ketidakstabilan geopolitik,” katanya kepada Bernama, sambil menambah angka telah membuktikannya.

Beliau berkata bank-bank pusat di seluruh dunia giat menyimpan emas, meningkatkan bahagian mereka daripada jumlah permintaan daripada hanya 1.8 peratus pada 2010 kepada 21.0 peratus pada 2024.

“Peningkatan pesat ini — berkembang pada kadar tahunan 20.2 peratus -- mendorong harga emas lebih tinggi.

“Berdasarkan keadaan sedemikian, harga emas dijangka kekal kukuh pada masa depan. Bagaimanapun, dalam mana-mana kelas aset, ia akan tertakluk kepada turun naik harga berikutan perubahan sentimen pasaran dan kesediaan untuk mengambil risiko,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Indeks Ketidaktentuan Dasar Ekonomi Global melonjak kepada 339.36 mata pada November 2024, mencerminkan kebimbangan yang meningkat terhadap dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), ketegangan perdagangan dan ketidakstabilan politik di bawah pentadbiran Donald Trump untuk penggal kedua.

“Lazimnya, harga emas akan naik apabila ketidaktentuan ekonomi meningkat,” katanya.

 

Komoditi Lain: Meningkat tetapi Ketinggalan Berbanding Emas

Walaupun emas menjadi tumpuan, komoditi lain juga mencatatkan pergerakan harga yang ketara.

Daripada pemerhatian penulis, koko, misalnya, melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 50 tahun pada 2024, dengan harga mencecah US$12,906 satu tan pada Disember 2024, disebabkan oleh keadaan cuaca buruk dan kekurangan pelaburan di kawasan pengeluaran utama koko, yang membawa kepada hasil yang berkurangan dan kekangan bekalan.

Setakat 20 Mac 2025, harga koko berada pada US$7,746.3 satu tan (menurut laman web tradingeconomics), menunjukkan sedikit penurunan tetapi kekal tinggi berbanding sebelumnya.

Harga minyak juga tidak menentu. Pada 20 Mac 2025, harga minyak mentah Brent naik 0.2 peratus kepada US$71.78 setong, didorong oleh situasi di Timur Tengah yang tidak stabil dan langkah-langkah rangsangan China untuk meningkatkan ekonominya.

Di sebalik turun naik ini, harga minyak tidak mencerminkan lonjakan luar biasa yang dicatatkan oleh emas.

Sementara itu, harga kopi menunjukkan turun naik yang ketara, mencerminkan peralihan dalam rantaian bekalan global dan mengubah corak permintaan pengguna.

Harga biji kopi Arabica mencecah hampir US$3.50 satu paun pada Disember 2024, mencatatkan paras tertinggi sejak 1977, dengan kenaikan yang mengejutkan sebanyak 83 peratus pada 2024.

Dalam sektor minyak sawit, komoditi penting Malaysia, minyak sawit telah mencatatkan turun naik harga dalam beberapa tahun ini.

Selepas mencapai paras tertinggi sebanyak RM7,268 satu tan pada Mac 2022, harga minyak sawit merosot sebanyak RM246 satu tan atau 5.54 peratus sejak awal 2025.

Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan pelarasan dalam penawaran dan permintaan global serta perubahan dasar perdagangan yang telah memberi impak kepada pasaran utama minyak sawit.

Secara ringkasnya, penulis berpendapat walaupun komoditi seperti koko, minyak, kopi dan minyak sawit telah mencatatkan pergerakan harga yang ketara, tiada yang dapat menandingi lonjakan harga emas yang luar biasa.

 

Harga Emas Terus Melonjak: Apa Maknanya untuk Rakyat Malaysia?

Bagi Malaysia, ada pihak yang mendapat manfaat dan ada yang terjejas daripada kenaikan harga emas.

Dari aspek positif, barang kemas emas terus menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat, terutamanya dalam kalangan wanita dan mereka yang memanfaatkan Ar-Rahnu (pajakan Islam), kata Mohd Afzanizam.

“Populariti pelaburan berasaskan emas yang meningkat turut mendorong ramai rakyat Malaysia mempelbagaikan portfolio mereka.

“Bagaimanapun, harga yang melambung tinggi menjadikan sukar untuk kebanyakan pengguna membeli emas. Kita mungkin akan melihat peralihan kepada pelaburan alternatif atau pilihan barang kemas yang lebih murah,” katanya.

Beliau berkata peruncit terperangkap dalam persaingan yang berisiko tinggi. Walaupun ada yang berjaya, yang lain bergelut untuk bersaing dengan harga yang turun naik.

“Namun, persaingan adalah sengit. Ambil contoh Kuala Pilah, Negeri Sembilan -- ia telah menjadi tumpuan membeli emas, menarik pembeli dari seluruh negara dengan harga yang kompetitif,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang terlibat dalam pelaburan emas, terus menghadapi dilema -- menjual sekarang atau menunggu untuk keuntungan yang lebih besar?

Mohd Afzanizam berkata: “Ia bergantung kepada matlamat kewangan anda. Jika anda melabur untuk persaraan, menyimpan emas mungkin pilihan yang bijak. Bagaimanapun, jika anda membeli dan menjual emas, masa adalah segala-galanya.”

 

Impak Terhadap Industri Barang Kemas Malaysia

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) Datuk Wira Louis Ng berkata kenaikan harga emas telah memberi impak bercampur-campur terhadap industri barang kemas Malaysia.

Di peringkat domestik, katanya pengguna menjadi lebih berhati-hati apabila membeli barang kemas emas, terutamanya pada waktu tertentu seperti musim majlis perkahwinan berikutan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, sektor eksport mendapat manfaat yang ketara daripada lonjakan harga, dengan eksport barang kemas emas mencecah anggaran RM7.7 bilion pada 2024, didorong oleh permintaan kukuh daripada pasaran utama seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Jepun dan Australia.

“Walaupun jualan domestik menghadapi cabaran, prospek keseluruhan bagi sektor barang kemas emas kekal positif,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata penjual barang kemas di Malaysia telah menyesuaikan strategi harga mereka dengan menawarkan reka bentuk ringan yang memerlukan kurang emas, membolehkan pelanggan membeli barang kemas pada harga yang lebih mampu milik.

“Selain itu, ramai penjual barang kemas menggabungkan bahan alternatif seperti berlian buatan makmal, yang menawarkan pilihan berkualiti tinggi pada kos yang lebih rendah.

“Terdapat trend yang meningkat dalam reka bentuk barang kemas minimalis serta peningkatan penggunaan bahan seperti perak sterling dan reka bentuk saduran emas, yang menjadikan barang kemas lebih mampu milik bagi pengguna yang mementingkan harga,” katanya.

Ng berkata lonjakan harga emas telah mengukuhkan tarikannya sebagai aset pelaburan.

“Peruncit telah mengambil langkah dengan memperkenalkan jongkong emas pelaburan bersaiz lebih kecil seperti 0.25 gram (g), 0.5 g dan 1 g untuk memenuhi keperluan pelabur kali pertama atau mereka yang mencari titik permulaan dalam pelaburan emas dengan kos lebih rendah.

“Populariti denominasi lebih kecil ini mencerminkan kesedaran yang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai peranan emas dalam pemeliharaan kekayaan,” katanya.

 

Prospek: Adakah Emas Mencecah US$5,000?

Sesetengah spekulator mengunjurkan bahawa harga emas akan melonjak kepada US$5,000 setiap auns troy pada akhir tahun tetapi Mohd Afzanizam kekal berhati-hati, menyatakan nilai tersebut mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk meningkat.

“Sasaran yang lebih realistik adalah antara US$3,000 setiap auns troy dan US$3,500 setiap auns troy dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Secara jujurnya, sukar untuk menjangka harga emas berikutan ia cenderung memecahkan rekod tertingginya beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ng berkata industri barang kemas Malaysia sedang menyesuaikan dengan landskap baharu dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan kepelbagaian.

“Pemain industri sedang memperluas penawaran mereka, menggabungkan bahan alternatif dan meneroka pasaran baharu untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran yang harga emas terus meningkat.

“Antara trend reka bentuk semasa dan pilihan pengguna termasuklah reka bentuk minimalis dan ringan serta penggunaan bahan alternatif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan