KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di lapan pasaran Asia dengan jumlah aliran keluar dana mencecah US$564.9 juta pada minggu lepas, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Dalam laporan aliran keluar dana mingguannya hari ini, bank pelaburan itu berkata pasaran Korea Selatan mendahului pasaran serantau dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak US$1.68 bilion berbanding aliran keluar selama sembilan minggu berturut-turut, sebelum ini.
“Selain Korea Selatan, pasaran Filipina juga menyaksikan aliran masuk manakala pasaran serantau lain terus mencatat penurunan,” katanya.
Filipina mencatat aliran masuk dana sebanyak US$40.1 juta bagi minggu ketiga berturut-turut, didorong oleh tindakan badan pengawal selia sekuritinya membayangkan kesediaan untuk mengurangkan keperluan apungan awam minimum 20 peratus untuk tawaran awam permulaan yang berpotensi menarik lebih banyak penyenaraian.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan lebih banyak penyenaraian di Bursa Saham Filipina yang mengalami jumlah dagangan rendah dan kekurangan penyenaraian baharu," kata MIDF Amanah.
Dalam pada itu, Indonesia sebaliknya mencatatkan aliran keluar dana asing bagi minggu kesembilan berturut-turut yang berjumlah US$432.1 juta, di tengah-tengah senario turun naik ekonomi dan perdagangan.
Saham Indonesia jatuh 1.6 peratus pada Jumaat lepas yang juga minggu urus niaga yang mencabar apabila kebimbangan terhadap kesihatan fiskal negara, dasar kerajaan dan penurunan permintaan melembapkan keyakinan pelabur.
“Indeks penanda arasnya telah jatuh lebih 11 peratus pada tahun ini yang menjadikannya antara terburuk di Asia. Rupiah juga lemah dengan penurunan bagi minggu kedua berturut-turut.
“Ketidaktentuan pasaran terus ketara akibat potensi impak tarif perdagangan Amerika Syarikat, mendorong pelabur untuk mencari aset lebih selamat seperti emas. Kebanyakan mata wang Asia lemah manakala pasaran saham serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur," katanya.
Di Malaysia, sektor perladangan mencatatkan aliran masuk dana bersih berjumlah RM2.4 juta pada minggu lepas manakala pelabur asing meneruskan jualan ekuiti di Bursa Malaysia bagi minggu ke-22 berturut-turut dengan aliran keluar dana asing berjumlah RM1.25 bilion.
“Nilai jualan bersih itu turun sedikit daripada RM1.34 bilion pada minggu sebelumnya. Pelabur asing juga merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan (minggu lepas) dengan Rabu menyaksikan aliran keluar tertinggi sebanyak RM484.23 juta.
“Pada hari lain, aliran keluar adalah RM155.34 juta hingga RM326.40 juta," katanya.
Dalam pada itu, institusi tempatan terus menyokong pasaran dengan pembelian bersih bagi minggu ke-22 berturut-turut dengan jumlah RM1.23 bilion.
Sektor perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu RM609.7 juta dan diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM167.9 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (-RM148.4 juta).
Pelabur runcit tempatan meneruskan rentak pembelian bersih untuk minggu keenam berturut-turut dengan aliran masuk dana sebanyak RM25.5 juta.
Purata jumlah dagangan harian pula susut yang merentasi kebanyakan segmen kecuali bagi pelabur asing.
Institusi tempatan dan pelabur runcit menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 11.9 peratus dan 14.8 peratus manakala pelabur asing mencatat kenaikan sebanyak 27.4 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial