EKONOMI > BERITA

CIMB, WILD ASIA BEKERJASAMA UNTUK PACU AMALAN MINYAK SAWIT LESTARI UNTUK PEKEBUN KECIL

25/03/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- CIMB Bank Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Wild Asia Sdn Bhd untuk memacu peralihan ke arah amalan yang lebih mampan dalam sektor minyak sawit.

CIMB dalam satu kenyataan hari ini berkata perkongsian itu bertujuan mengukuhkan ketelusan rantaian bekalan dan mengutamakan piawaian kemampanan dengan bekerjasama rapat dengan pelanggan dan pihak berkepentingan industrinya melalui Program Perikatan Keterangkuman dan Ketahanan Pengeluar Kecil Wild Asia (Spiral).

“Dengan memudahkan pensijilan boleh dipercayai untuk kilang, rantaian bekalan mereka dan pengeluar bebas termasuk pekebun kecil, penanam kecil dan ladang, ia bertujuan untuk memacu akauntabiliti lebih besar dan amalan penyumberan bertanggungjawab di seluruh industri.

“Melalui program ini, pengeluar bebas akan dapat memperoleh akses pasaran lebih baik dan meningkatkan taraf hidup mereka sambil menyokong peralihan lebih luas kepada pengeluaran minyak sawit mampan yang positif alam semula jadi,” katanya.

CIMB berkata pekebun kecil boleh beralih kepada pengeluaran minyak sawit mampan dengan mengurangkan keamatan karbon, mengukur dan mengurus pelepasan gas rumah hijau dan mengguna pakai amalan pertanian regeneratif untuk meningkatkan hasil dengan kesan alam sekitar yang minimum.

Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan CIMB Luanne Sieh berkata kemampanan dalam sektor ini melangkaui mengurangkan impak alam sekitar kerana ia juga mengenai memperkukuh mata pencarian dan mewujudkan peluang ekonomi jangka panjang di seluruh rantaian nilai terutamanya bagi pekebun kecil yang membentuk sebahagian besar ekosistem.

“Melalui kerjasama rapat dengan Wild Asia, pelanggan kami dan pihak berkepentingan industri...kami komited untuk membentuk ekosistem minyak sawit yang lebih bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Wild Asia Dr Reza Azmi berkata inisiatif di lapangan mereka telah memberikan hasil ketara, membuktikan pengeluaran minyak sawit inklusif boleh dicapai.

Beliau berkata syarikat itu juga telah menunjukkan bahawa dengan mengamalkan amalan penjanaan semula, minyak sawit boleh berfungsi sebagai penyerap karbon jangka panjang.

"Dengan rakan kongsi Spiral mengetuai tanggungjawab itu, kami bersedia untuk meningkatkan usaha ini merentasi industri, membuka jalan bagi komuniti yang berkembang maju, perniagaan yang makmur dan planet lebih sihat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan