EKONOMI > BERITA

EKONOMI MALAYSIA DIUNJUR BERKEMBANG 4.5 - 5.5 PERATUS PADA 2025 DIDORONG PERMINTAAN DALAM NEGERI, EKSPORT DIJANGKA SEDERHANA - BNM

24/03/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada  2025 didorong oleh permintaaan dalam negeri yang terus kukuh dan landskap pelaburan mantap dengan eksport dijangka sederhana dalam keadaan ketidakpastian luaran, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun prospek pertumbuhan dalam negeri tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada ketidakpastian luaran yang ketara, kata BNM dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini.

“Perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan yang lebih pantas berserta sokongan dasar,” katanya.

Tahun lepas, ekonomi negara berkembang kukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2023.

 

Pertumbuhan Malaysia Kekal Berteraskan Permintaan Dalam Negeri

BNM berkata pada 2025, peningkatan selanjutnya dalam keadaan pasaran pekerja dan langkah-langkah dasar kerajaan berkaitan dengan pendapatan akan memberikan sokongan kepada perbelanjaan isi rumah.

Penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2025, didorong oleh peningkatan berterusan dalam keadaan pasaran pekerja dan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi, manakala penggunaan guna tenaga diunjurkan berkembang sebanyak 2.1 peratus dengan unjuran jumlah guna tenaga sebanyak 17 juta orang.

Pertumbuhan pelaburan swasta dijangka kekal kukuh pada 10.1 peratus pada 2025 disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global dan keadaan permintaan luar dan dalam negeri yang mampan.

“Pertumbuhan pendapatan diunjur meningkat disokong oleh penggunaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan langkah-langkah dasar kerajaan termasuk pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi dan kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” katanya.

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) dijangka berkembang sebanyak 9.3 peratus didorong oleh pelaburan yang mantap dan berterusan dalam segmen struktur serta segmen jentera dan kelengkapan.

Bank pusat berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan masing-masing berada pada purata antara dua peratus hingga 3.5 peratus dan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada tahun ini.

“Kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan, termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan dijangka bersifat sementara dan dapat dibendung dengan baik,” katanya.

Menurutnya, keadaan monetari dan kewangan domestik kekal menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan mampan.

 

Pengembangan Dalam Semua Sektor Ekonomi

Kebanyakan sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2025, dengan sektor perkhidmatan dan perkilangan kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan keseluruhan berikutan keadaan dalam negeri dan luaran yang bertambah baik.

BNM menjangkakan sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.7 peratus pada 2025 berbanding 5.4 peratus pada 2024 dengan pengembangan berterusan merentas semua subsektor.

“Subsektor pengangkutan dan penyimpanan akan didorong oleh sokongan berterusan daripada aliran trafik penumpang udara, pelancaran lebuh raya baharu dan yang dinaik taraf, operasi LRT 3 serta pertumbuhan stabil dalam aktiviti logistik dan penyimpanan,” katanya.

BNM berkata pertumbuhan subsektor kewangan akan disokong oleh permintaan pinjaman yang berterusan, manakala subsektor perkhidmatan harta tanah dan perniagaan akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pembinaan.

Bagi sektor perkilangan pula, BNM mengunjurkan pertumbuhan turun sedikit kepada 3.9 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada tahun lepas kerana pengembangan berterusan industri elektronik dan elektrik (E&E) dan industri berkaitan pengguna diimbangi oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam industri berkaitan sumber dan pembinaan.

“Industri E&E dijangka mendapat manfaat daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang lebih meluas yang dijangka mencatatkan pertumbuhan merentas semua segmen semikonduktor.

“Hal ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam prospek jualan global, didorong oleh permintaan luaran untuk barangan elektronik pengguna dan semikonduktor berkaitan  kecerdasan buatan (AI),” kata BNM.

 

Landskap Pelaburan Yang Teguh

BNM mengunjurkan peningkatan kitaran pelaburan berlanjutan hingga 2025 dengan pertumbuhan pelaburan swasta dijangka kekal kukuh pada 10.1 peratus manakala pelaburan awam (+6.4 peratus) didorong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada.

Dalam sektor swasta, hasrat pelaburan bagi tahun 2025 kekal kukuh seperti yang dicerminkan oleh jumlah kelulusan pelaburan yang tinggi pada 2024 iaitu sebanyak RM378.5 bilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus secara tahunan.

“Pelaksanaan pelaburan pada tahun yang akan datang akan disokong oleh permintaan global yang berterusan dalam industri utama seperti E&E serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk pusat data.

“Kemajuan pelaburan juga akan dipercepat oleh inisiatif kerajaan menerusi proses kelulusan dan memudahkan pelaksanaan projek yang diperkukuhkan dengan libat urus secara aktif antara pihak berkuasa dengan pelabur,” katanya.

Di samping itu, BNM berkata ekosistem pelaburan Malaysia yang mantap dan kondusif akan memberikan dorongan berterusan bagi pertumbuhan pelaburan, lantas menarik pelabur baharu dan menggalakkan pengekalan pelaburan di Malaysia.

Menurut bank pusat, inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional akan terus menyokong aktiviti pelaburan, dengan memetik antara contoh yang ketara termasuk projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Kasawari oleh Petronas dan projek solar terapung hibrid hidro (HHFS) photovoltaic oleh Tenaga Nasional Bhd.

 

Aktiviti Perdagangan Sederhana

Berikutan pemulihan perdagangan Malaysia yang kukuh pada 2024, BNM menjangkakan eksport dan import  berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada 2025 dalam keadaan ketidakpastian dasar global.

Bank pusat mengunjurkan eksport kasar berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun ini dengan eksport perkilangan terutamanya E&E akan terus memacu pertumbuhan ini dan mengimbangi penurunan eksport komoditi.

“Eksport kasar akan meraih manfaat daripada peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan, sejajar dengan pertumbuhan dua digit dalam jualan semikonduktor global seperti yang diunjurkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS).

“Produk perkilangan bukan E&E akan kekal disokong oleh permintaan luaran yang mampan dan aktiviti pelaburan yang berterusan di negara serantau,” kata BNM.

Import kasar yang dijangka tumbuh menyederhana kepada 7.4 peratus tahun ini akan didorong oleh pengembangan dalam barangan pengantaraan dan modal, mencerminkan eksport perkilangan Malaysia yang mampan dan aktiviti pelaburan yang kukuh.

Manakala unjuran pertumbuhan dalam perbelanjaan pelancong yang disokong oleh peningkatan permintaan perjalanan global, dasar visa yang lebih terbuka dan peningkatan kesalinghubungan penerbangan yang lebih baik akan meningkatkan eksport perkhidmatan, kata bank pusat.

 

Ringgit Dipacu Oleh Turun Naik Aliran Modal

Mengenai ringgit, BNM berkata prestasi mata wang tempatan itu pada tahun ini akan dipacu terutamanya oleh turun naik aliran modal.

“Aliran masuk asing berikutan perbezaan kadar faedah yang lebih kecil dijangka dapat memberikan sokongan kepada ringgit.

“Bagaimanapun, keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) untuk mengekalkan kadar yang tinggi bagi tempoh yang lebih lama mungkin mempengaruhi prestasi ringgit,” katanya.

BNM berkata prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, pembaharuan struktur dalam negeri dan keupayaan untuk menarik pelaburan jangka panjang dilengkapi dengan inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan memberikan sokongan kepada ringgit secara berterusan untuk tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan