EKONOMI > BERITA

PEMBAHARUAN, PELABURAN 'SENJATA' MALAYSIA REBUT PELUANG PASARAN EM - MAYBANK IB

25/03/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu merebut peluang bagi menonjolkan perbezaan positif dari segi kestabilan politik dan dasarnya dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun (EM) dengan meningkatkan pelaburan langsung asing dan domestik selain memanfaatkan sokongan perkembangan global.

Sehubungan itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata Malaysia perlu mengukuhkan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) selain mempercepat usaha pembaharuan bagi menangani karenah birokrasi, ketidakcekapan dan jenayah rasuah.

Menurut bank pelaburan itu, dalam perkembangan yang menyaksikan rakan setara utama Indonesia dan Turkiye mengalami penjualan mendadak saham pada minggu lepas yang menjejaskan sentimen merentasi kelas aset, kesan negatif terhadap Malaysia sebaliknya seharusnya terhad.

“Asas penjualan (ekuiti) adalah isu politik dan dasar domestik yang tidak mengubah prospek global dan secara amnya positif bagi kebanyakan EM.

“Faktor seperti pasaran Amerika Syarikat (AS) yang memuncak dan sentimen pengecualian dolar, penurunan kadar faedah AS sebagaimana dinyatakan bank pusat negara maju itu, kejatuhan harga minyak dan tenaga serta rantaian bekalan dan orientasi semula perdagangan yang menggalakkan adalah positif untuk EM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh potensi kesan limpahan terhadap apa yang berlaku ke atas Indonesia dan Turkiye, Maybank IB berkata syarikat korporat Malaysia mempunyai pendedahan langsung yang terhad ke atas kedua-dua negara itu.

“Kami melihat potensi halangan ke atas bank seperti CIMB menerusi anak syarikatnya di Indonesia, CIMB Niaga yang menyumbang 25 peratus daripada pendapatan kumpulan manakala Maybank yang memperoleh kira-kira tiga hingga lima peratus daripada pendapatan kumpulan dari Indonesia.

“Bagi sektor telekomunikasi, Axiata menjana 20 peratus daripada jumlah keuntungan bersih operasi dari Indonesia,” katanya.

Turkiye juga merupakan kedudukan operasi kedua terbesar bagi pengendali hospital IHH Healthcare yang menyumbang 27 peratus hingga 30 peratus daripada hasil dan pendapatan tahun kewangan 2024  kumpulan dari segi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan.

Maybank IB juga menyarankan langkah kawal selia seperti apungan bebas pasaran lebih tinggi dengan cukai korporat yang lebih rendah, menghapuskan semua baki had pemilikan asing dalam sektor seperti perbankan dan telekomunikasi selain memperkenalkan program transformasi syarikat berkaitan kerajaan kedua (GLCT 2.0) untuk mengutamakan kepelbagaian pemegang saham dan aset.

Pada minggu lepas, bursa saham Indonesia menghentikan dagangan buat sementara waktu selepas penanda aras Indeks Komposit Jakarta (JCI) menjunam lima peratus di tengah-tengah kebimbangan ketara terhadap pertumbuhan ekonominya. 

Selain itu, aset dalam denominasi lira Turkiye merosot selepas Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu yang juga pemimpin pembangkang utama, ditahan dan menyebabkan penyusutan penanda aras BIST100 sehingga tujuh peratus manakala nilai mata wangnya merosot di paras terendah berbanding dolar AS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan