KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) kekal teguh dalam memastikan kestabilan harga dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang.
Menurut BNM dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini, operasi monetari BNM akan terus memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan dan pasaran kewangan bagi melengkapkan dasar BNM yang lain demi memastikan pengantaraan kewangan berfungsi dengan lancar dan kondusif.
Katanya walaupun terdapat ketidaktentuan berkaitan tarif, perubahan dasar di ekonomi utama dan konflik geopolitik, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan menjadi penampan penting terhadap kejutan luaran ini.
“Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025 dengan keadaan ekonomi domestik yang menggalakkan pada 2025 menyediakan asas yang kukuh untuk pelaksanaan langkah-langkah dasar pembaharuan struktur yang berterusan,” katanya.
Pada 2024, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memberi tumpuan pada penilaian mengenai potensi kesan kejutan penawaran daripada gangguan luaran serta pembaharuan dasar dalam negeri ke atas ekonomi.
“Dasar monetari adalah alat pengurusan permintaan, justeru mempunyai pengaruh langsung yang terhad dalam menangani kejutan penawaran dan sebarang perubahan kadar dasar semalaman (OPR) memerlukan masa untuk memberi kesan ke atas ekonomi.
“Bagi melindungi prospek jangka sederhana untuk kestabilan harga dan pertumbuhan mampan, MPC menilai dengan teliti potensi kesan jangka pendek serta jangka panjang daripada kejutan ini terhadap inflasi dan pertumbuhan,” katanya.
Menurut BNM, berdasarkan ketiadaan permintaan dalam negeri yang berlebihan dan jangkaan inflasi yang masih terkawal, MPC mendapati tiada tanda perbelanjaan, pinjaman dan perilaku pengambilan risiko yang berlebihan oleh isi rumah dan perniagaan.
Katanya permintaan yang kukuh sepanjang tahun juga didorong oleh aktiviti pelaburan yang lebih mantap, yang akan menyokong pengembangan keupayaan pengeluaran Malaysia tanpa menghasilkan tekanan harga yang berlebihan.
“Oleh itu, keadaan ini telah membolehkan MPC meneliti kejutan penawaran tanpa perlu bertindak balas dengan melaraskan OPR dan secara keseluruhan, dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada 2024,” katanya.
Menurut BNM, Malaysia perlu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, memupuk pendigitalan serta membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan.
Katanya BNM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan mengenai langkah-langkah dasar yang relevan, terutama pembaharuan struktur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial