EKONOMI > BERITA

CIC MALAYSIA MENINGKAT 5.5 PERATUS KEPADA 170.7 BIL PADA 2024 - BNM

24/03/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Peredaran mata wang (CIC) Malaysia meningkat sebanyak 5.5 peratus pada 2024 kepada RM170.7 bilion, berbanding RM161.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata ia mengunjurkan permintaan terhadap wang tunai akan terus berterusan meskipun penggunaan e-pembayaran semakin meningkat.

Faktor-faktor yang mendorong permintaan ini termasuk pertumbuhan ekonomi, keperluan menyimpan wang tunai untuk kecemasan, serta sebagai kaedah pembayaran di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan e-pembayaran, katanya.

“Walaupun landskap pembayaran telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan perkembangan e-pembayaran, wang tunai kekal sebagai kaedah pembayaran yang penting,” kata bank pusat itu menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

BNM turut menegaskan bahawa ia sentiasa memantau serta menilai ancaman dan trend pemalsuan mata wang bagi memastikan integriti CIC.

Setakat 31 Disember 2024, bank pusat itu melaporkan bahawa indeks pemalsuan mata wang di Malaysia berada pada 1.7 bahagian bagi setiap juta keping (parts per million, ppm), meningkat sedikit daripada 1.6 ppm pada 2023.

Bagaimanapun, BNM berkata indeks pemalsuan mata wang di Malaysia kekal lebih rendah berbanding negara-negara lain yang dijadikan penanda aras.

Dengan sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, BNM berkata ia telah melaksanakan beberapa inisiatif lestari dalam ekosistem mata wang, termasuk mengutamakan pengeluaran wang kertas yang masih sesuai untuk edaran selain mengeluarkan wang kertas baharu terutamanya pada musim perayaan.

Pada 2024, BNM mengeluarkan sebanyak 2.5 bilion wang kertas di seluruh negara dengan wang kertas dalam keadaan baik merangkumi 66 peratus daripada jumlah itu.

Memandangkan wang tunai akan terus memainkan peranan penting pada masa hadapan, bank pusat itu berkata ia telah memperkukuh kerjasama dengan pemain industri mata wang bagi mempertingkatkan keseluruhan rantaian nilai ekosistem mata wang.

“Usaha ini memanfaatkan peningkatan keseluruhan rangkaian pengedaran industri mata wang di seluruh negara oleh industri dan pengalaman BNM dalam usaha menangani pandemik COVID-19,” kata BNM.

Langkah selanjutnya, bank pusat itu berkata ia akan terus memantau perkembangan ekosistem mata wang melalui aktiviti penyeliaan dan pengawasan serta memperkenalkan inisiatif kelestarian yang baharu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan